Tabur duit RM10 sebelum samun - Utusan Malaysia

Tabur duit RM10 sebelum samun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menggunakan helah menabur duit RM10 bagi menarik perhatian mangsa sebelum menyamun.

Itu taktik empat suspek dari Amerika Latin yang menyamun seorang lelaki di hadapan sebuah bank di Cheras, dekat sini, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abdul Jalil Hassan berkata, suspek pada mulanya mengekori mangsa yang mengeluarkan duit di bank sebelum memancitkan tayar kenderaan sasarannya.

Menurut beliau, mangsa yang terpedaya memberhentikan kereta sebelum suspek membuat helah menaburkan beberapa keping duit kertas RM10.

“Semasa mangsa leka mengutip duit terbabit, suspek membuka pintu kereta mangsa dan melarikan beg mangsa yang berisi duit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Jalil berkata, hasil daripada maklumat itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur menjalankan operasi mengesan suspek terbabit.

Kata beliau, susulan itu, suspek dikesan di Jalan Berhala, Brickfields, kira-kira 12.30 tengah hari, sebelum sepasukan polis menghalang laluan untuk menahan mereka.

“Dalam usaha menangkap suspek, mereka merempuh kenderaan pasukan dan cuba melanggar pegawai serta anggota polis beberapa kali.

“Untuk keselamatan pasukan, beberapa das tembakan dilepaskan menyebabkan suspek yang memandu terkena tembakan di badan dan kereta suspek dihentikan,” jelasnya.

Beliau berkata, suspek berada dalam keadaan stabil yang mana hasil pemeriksaan lanjut, tangkapan dilakukan terhadap dua lelaki dan dua wanita warga asing yang berada di dalam kereta itu.

“Duit samun yang dilarikan oleh suspek ditemukan semula sebanyak RM194,000,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan seorang daripada empat warga asing yang juga suspek kes samun di hadapan sebuah bank di Cheras di sini, hari ini cedera ditembak polis. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN