SUNGAI PETANI: Seorang suri rumah yang mempunyai tiga orang anak tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya menguruskan adik lumpuh dan bapa yang diserang angin ahmar.
Nur Izzah Saidin, 32, yang tinggal di Taman Aman Makmur, Tanjung Dawai, Merbok di sini memikul tugas menjaga adiknya itu, Noor Asmahan, 29, dan bapa, Saidin Murad, 67, selepas kematian ibunya sejak 25 tahun lalu.
Menurutnya, walaupun mempunyai tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu, namun dia tetap membahagikan masa untuk dua insan tercinta itu.
Malahnya, suaminya, Mohd. Shaker Ariffin, 37, dan tiga anaknya yang berusia dua hingga sembilan tahun juga tidak ketinggalan membantu tugasnya dalam menguruskan ayah dan adiknya itu.
“Saya gembira menjadi pengasuh kepada adik yang lumpuh dan sawan sejak kecil dan menjaga ayah yang diserang angin ahmar pada dua tahun lalu.
“Adik saya hanya mampu terbaring kerana tidak dapat bergerak manakala ayah pula hanya boleh mengesot untuk bergerak selepas anggota badan sebelah kanannya tidak berfungsi selepas diserang angin ahmar,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Aman Makmur, Tanjung Dawai, Merbok, di sini semalam.
Malah, Nur Izzah memberitahu, dia tidak merasa terbeban dengan rutin tugasan seharian menjaga adik dan ayahnya itu serta pada masa sama terpaksa menunaikan tanggungjawab terhadap keluarga sendiri.
Bagaimanapun, tambahnya, abang dan kakak serta adiknya yang lain sudah berumah tangga dan tinggal berasingan, namun mereka sering menjenguk Noor Asmahan dan ayah.
Selain itu, katanya, walaupun pendapatan suaminya yang bekerja di pelantar ikan tidak banyak tetapi mereka akan tetap memastikan kebajikan adik dan bapanya terjaga dengan baik.
“Pada masa ini, Noor Asmahan menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 untuk menampung keperlun hariannya seperti membeli lampin pakai buang dan keperluan lain.
“Saya juga terpaksa membeli ubat-ubatan untuk ayah yang turut mengidap penyakit darah tinggi, diabetes dan kolesterol,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menghubungi Nur Izzah di talian 01116932524 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik bapanya, Saidin Murad, 0219141000029412. -UTUSAN ONLINE