JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa bangga dengan kejayaan dua anak kelahiran negeri ini yang menempa nama di luar negara.
Dua figura yang dimaksudkan Sultan Johor ialah penyanyi dan juga penulis lirik, Gin Lee serta pelawak yang juga pelakon, Ronny Chieng.
Sultan Ibrahim mengucapkan tahniah di atas pencapaian luar biasa kedua-dua mereka di peringkat antarabangsa ketika ini.
“Terima kasih kerana mengharumkan nama Johor. Saya percaya Johor mempunyai banyak bakat terpendam yang belum dicungkil.
“Jadikan kejayaan mereka sebagai contoh dan inspirasi kepada rakyat Johor. Saya berharap mereka terus kekal meletakkan nama Johor di mata dunia,” titah Sultan Ibrahim.
Gin Lee mengeluarkan album sulungnya berjudul One & Only pada 29 Disember 2009 selepas menjuarai pertandingan menulis lagu “Malaysia’s Universal Music” pada usia 18 tahun.
Gin Lee yang berhijrah ke Hong Kong pada 2011 mula dikenali sebagai penyanyi Cantopop selepas menguasai bahasa Kantonis selain menghasilkan beberapa buah lagu popular dan sebuah album berjudul ‘beGin’.
Mewakili Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), album tersebut juga menjadikan beliau sebagai Penyanyi Wanita Terbaik pada 2020 di acara AIM Chinese Music Awards.
Penyanyi berusia 34 tahun baru-baru ini telah berganding di atas satu pentas bersama penyanyi popular Hong Kong, Jacky Cheung di acara Miss Hong Kong 2021. Mereka membawakan lagu duet ‘Let the Street Lights Rest When the Sun Rises’.
Sementara itu, Ronny Chieng, 35, yang sebelum ini membintangi filem ‘Crazy Rich Asians’ bersama pelakon popular Malaysia, Henry Goulding kini muncul di dalam filem keluaran Marvel, ‘Shang Chi and The Legend of The Ten Rings’ yang akan ditayangkan di Malaysia pada Oktober ini.
Beliau bermula sebagai pelawak terkenal sejak zaman universiti, di mana Chieng tampil bersama Trevor Noah pada tahun 2013. Kerjayanya diteruskan sebagai wartawan senior di The Daily Show yang juga dihoskan oleh Traver Noah.
Pada 2016, Chieng menulis dan membintangi sebuah sitkom yang mengisahkan pengalamannya sebagai pelajar Malaysia di University of Melbourne bertajuk ‘Ronny Chieng: International Student’. Pada tahun yang sama, beliau turut tersenarai sebagai salah seorang daripada ‘10 Comics to Watch’ oleh Variety.
Persembahan khas komedi beliau “Asian Comedian Destroys America!” turut disiarkan di Netflix sejak 2019.
Chieng jelas tidak melupakan asal usulnya apabila beliau menunjukkan pasport Malaysia dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu dengan mengatakan “Johor Bahru kampung saya. Saya anak Malaysia” di dalam sebuah video promo filem ‘Shang Chi’ sempena Hari Malaysia.
Beliau turut menggunakan perkataan ‘lah’ dan ‘meh’ dalam pertuturan harian dan menunjukkan cara membuat pesanan di kopitiam seperti rakyat Malaysia. – UTUSAN ONLINE