PUTRAJAYA: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menafikan dakwaan terdapat kebocoran data melibatkan entiti perniagaan di Malaysia seperti dilaporkan beberapa portal hari ini.
Menerusi kenyataan akhbar SSM, pihaknya menjalankan siasatan dalaman dan memberi jaminan semua maklumat korporat yang diserah simpan kepada SSM adalah selamat dan dilindungi beberapa lapisan teknologi keselamatan maklumat yang diiktiraf.
“SSM akan bekerjasama dengan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi menjalankan siasatan lanjut terhadap dakwaan ini.
“Dalam masa sama, SSM menasihati orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat entiti perniagaan berkaitan syarikat, perniagaan dan perkongsian liabiliti terhad untuk berurusan melalui saluran yang diiktiraf SSM iaitu www.ssm4u.com.my atau www.ssm-einfo.my atau www.mydata-ssm.com.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, SSM juga menyediakan maklumat berkaitan entiti perniagaan di Malaysia yang disahkan benar secara digital (Digital CTC) melalui portal tersebut yang boleh disemak kesahihan maklumat diterima melalui aplikasi telefon pintar disediakan SSM iaitu SSM DCTC QR Code Reader.
Untuk sebarang aduan dan maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan SSM di talian 03-77214000 atau e-mel kepada [email protected].
Sebuah portal melaporkan, profil sekitar 1.4 juta syarikat di Malaysia ditawarkan untuk jualan dalam talian di forum penggodam sehari selepas pihak berkuasa menafikan pencerobohan data besar-besaran melibatkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Laporan pada portal itu menyebut, seorang pengguna berkata, data tersebut dikeluarkan daripada SSM termasuk beberapa profil syarikat yang mengandungi butiran pengarah dan pemegang taruh syarikat. – UTUSAN










