JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor menahan seorang bekas penjawat awam kerana menyalah guna kuasa dan kedudukannya untuk mendapatkan projek pembekalan toner bernilai lebih RM1 juta.
Menurut sumber, lelaki berusia 35 tahun itu yang merupakan bekas Pembantu Tadbir Gred N19 ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi di Pejabat SPRM Johor hari ini.
Katanya, suspek ditahan bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan terhadapnya bagi kesalahan dari 2016 hingga 2019.
“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati suspek semasa bertugas sebagai Pembantu Tadbir di Pejabat Kerajaan Negeri telah menggunakan kedudukannya sebagai urusetia dalam Jawatankuasa Sebutharga untuk mendapatkan kerja-kerja pembekalan toner.
“Suspek itu bertindak dengan memalsukan butiran pemilikan tiga syarikatnya untuk mendapatkan projek membekalkan toner bernilai RM1.03 juta,” katanya di sini hari ini.
Sumber memberitahu, bagi perbuatan itu, suspek akan disiasat di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.