Walaupun Kod Sukan Selamat diluluskan dua tahun lalu, gangguan seksual terhadap atlet muda masih berlaku sekali gus menunjukkan perlunya tindakan lebih tegas dan proaktif segera diambil.
Berikutan itu, semua jurulatih sukan kini perlu menjalani pemeriksaan latar belakang dan memiliki lesen sah sebelum dibenarkan menyertai Majlis Sukan Negara (MSN) atau mana-mana badan sukan lain di negara ini.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, ia melindungi atlet daripada sebarang bentuk penderaan dan gangguan seksual.
“Kita juga perlu melaksanakan semakan latar belakang bagi memastikan jurulatih yang berlesen bebas daripada salah laku terdahulu dan layak bekerja dengan atlet muda.
“Tetapi, ini akan memakan masa kerana terlalu ramai jurulatih berada di tahap akar umbi,” katanya ketika berucap pada majlis tayangan filem ‘Julie Keeps Quiet’ yang mengangkat isu penderaan seksual dalam sukan.
KBS sudah mendapat komitmen daripada lebih 1,187 pertubuhan NGO dan badan sukan kerajaan. Seramai 3,769 kakitangan, jurulatih dan atlet juga bersetuju. Latar belakang semua jurulatih yang dilantik oleh MSN turut diperiksa.
Pegawai wanita dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sudah dipindahkan ke KBS selepas Akta Gangguan Seksual diluluskan bagi memperkukuh penguatkuasaan.
“Sejak itu, kadar kesedaran mengenai gangguan seksual dalam sukan semakin meningkat. Semasa Kod Gangguan Seksual dalam sukan dilancarkan, ramai berpendapat perlu ada akta bukan kod. Tetapi, kami tidak dapat berbuat demikian kerana memakan tempoh yang lama dan menubuhkan tribunal pula menelan kos serta masa. Jadi, kami teruskan dengan Kod Gangguan Seksual.
“Sejak Kod Sukan Selamat diluluskan pada tahun 2023, sebanyak 49 aduan diterima dengan 19 daripadanya membabitkan kakitangan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN). Seorang pegawai perlindungan dilantik bagi menasihati MSN cara menangani kes-kes ini,” katanya.
Ahli jawatankuasa dalam panel ini juga disertai legenda sukan negara seperti Datuk Shalin Zulkifli dan Datuk Nicol Ann David.
Katanya, lebih ramai membuat aduan selepas kesedaran diberikan. Aduan bukan sahaja diterima daripada atlet wanita tetapi juga lelaki yang mendakwa diganggu oleh jurulatih lelaki.
Pengasas Bersama dan Presiden AWAM, Ho Yock Lin berkata, 75 peratus wanita mengalami gangguan seksual di Asia Pasifik, manakala di Malaysia, KPWM mencatatkan 522 kes.
“Ini mungkin kedengaran tidak banyak tetapi ada kes yang tidak dilaporkan. Kira-kira 85 peratus mangsa adalah wanita. Pusat panggilan AWAM ditubuhkan pada tahun 1991,menerima 15,000 panggilan daripada mangsa. Tahun ini sahaja, kami menerima lapan kes gangguan seksual di tempat kerja dan ini adalah puncak kemelutnya.
“Sukan bertujuan tingkatkan kesihatan fizikal, mental dan hubungan sosial. Namun, komen tidak sesuai boleh buat mangsa takut dan marah hingga mendiamkan diri. Katakan tidak pada gangguan seksual, jangan berdiam dan beri alasan,” katanya.
Duta Belgium ke Malaysia, Peter Van Acker, berkata filem ‘Julie Keeps Quiet’ yang pernah dicalonkan Oscar mendapat sambutan baik di negara itu kerana menyampaikan mesej penting tentang isu sosial dalam masyarakat.
“Gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana sahaja. Ia topik yang perlu ditangani. Dalam filem ini mengisahkan Julie, pemain tenis di sebuah akademi sukan berdepan isu gangguan seksual. Akademi berkenaan mula menyiasat tanpa memberikan tekanan kepada Julie kerana mereka sangat terkenal.
“Julie pula berdiam diri kerana tidak mahu menggadaikan kerjayanya. Filem ini ingin menyampaikan berdiam diri bukan penyelesaian,” katanya.

KEMUDAHAN DAN PANDUAN
Sementara itu pada sesi panel bertajuk; Memecah Kebisuan: Impak Gangguan Seksual yang disertai atlet muda dan berpengalaman, menyeru saluran dan kaedah lebih berkesan untuk melindungi atlet.
Berada dalam dunia sukan sejak beberapa tahun lalu, atlet bolasepak wanita Kebangsaan (Bawah 19 tahun), Lauren Hou Ruyi berkata, dia pernah menyaksikan kes gangguan seksual.
Bagaimanapun, kebanyakan atlet yang menjadi mangsa tidak mampu bersuara, malu serta tidak tahu tindakan yang perlu diambil.
“Saya pernah melihat kes gangguan seksual dan saya serta rakan-rakan berasa kecewa dengan isu ini. Apabila saya ingin bercakap mengenainya, jurulatih dan pihak tertentu enggan berbincang seolah-olah tidak penting. Ini menyebabkan saya tersedar dan tertanya-tanya, apakah budaya kita tidak menggalakkan bercakap mengenai apa yang kita rasa? Jadi, amat penting untuk mewujudkan saluran di mana atlet boleh bercakap secara bebas, selain mempunyai kemudahan dan panduan untuk bercakap mengenai isu ini.
“Menyediakan persekitaran selamat untuk atlet sangat penting. Paling sukar adalah apabila mangsa tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Pastikan ada ruang untuk mereka bersuara tanpa paksaan,” katanya.
Antara gangguan seksual yang sering dihadapi atlet ialah melalui media sosial.
Walaupun platform ini penting untuk kerjaya, komen-komen tidak sesuai kerap dilemparkan.
Bagi atlet muda, situasi ini mencabar, maka penting mendidik mereka tentang hak bersuara apabila berdepan perkara yang membuatkan mereka tidak selesa.
Kod tidak mencukupi, gambar atlet perlu ditapis
Bekas atlet gimnastik kebangsaan dan Pengasas dan Presiden Safe Sport Malaysia (SSM), Sarina Sundarah Rajah berkata, Kod Sukan Selamat yang diluluskan sejak dua tahun lalu hanya sekadar garis panduan.
“Kod Sukan Selamat itu tidak disertai dengan penguatkuasaan undang-undang. Saya ditanya mengenai Akta Sukan Selamat sejak 2019. Saya tahu Malaysia sudah mempunyai akta ini.
“Pada saya ia amat penting kerana berada dalam sukan gimnastik sejak 30 tahun, saya melihat kes gangguan seksual. Begitu juga apabila jurulatih, saya melihat banyak kes.
Mangsa membuat aduan tetapi kebanyakannya tidak dipedulikan dan tidak ditangani,” katanya.
Sarina berkata, pengalamannya lama dalam dunia sukan membuatnya sedar kebanyakan institusi sering memandang remeh isu gangguan.
“Peranan ibu bapa sangat penting dalam keselamatan anak mereka. Sebaliknya, mereka mempercayai jurulatih dan menyangka berada dalam sukan memerlukan latihan yang keras dan kasar. Kadangkala, mereka tidak dapat membezakannya dengan penderaan.
“Saya masih ingat semasa dalam gimnastik, berat badan kami dipantau sekurang-kurangnya dua kali sehari iaitu sebelum dan selepas latihan, di depan semua orang. Jurulatih akan melakukan body shaming walaupun berat badan hanya naik 100 gram sahaja. Kami perlu membuat larian di luar walaupun dalam cuaca panas sehingga berat badan berlebihan 100 gram itu hilang,” katanya.
Atlet gimnastik bukan sahaja perlu prestasi, malah menjaga penampilan, yang kadang-kadang membingungkan terutama semasa usia baligh.
Jurulatih sering menetapkan berat badan tertentu, tetapi atlet tidak menyedari ini sebagai penderaan. Kini, British Gymnastics melarang jurulatih mengambil berat badan atlet, hanya pengamal perubatan yang dibenarkan untuk rekod. Malangnya, ini berbeza dengan Malaysia.
“Di kelab saya, atlet digalakkan makan secara sihat dan seimbang. Ibubapa pula perlu mula mengambil tahu mengenai penderaan dan gangguan seksual. Bukan hanya mempercayai jurulatih semata-mata.
“Ibubapa perlu mula bercakap dengan anak bagi memperkasakan mereka dengan pengetahuan mengenai penderaan dan gangguan seksual. Antaranya memerhatikan pencapaian mereka sama ada meningkat atau sebaliknya sebagai antara petanda jika perkara tidak diingini berlaku. Atlet perlu diberikan pendidikan. Gambar atlet gimnastik sepatutnya ditapis sebelum disiarkan kepada orang ramai, “ katanya.
Gangguan alam siber
Mantan Naib Presiden dan Penasihat Undang-Undang All Women Action Society Malaysia (AWAM),Dr.May Ng. berkata, Akta Gangguan Seksual pada masa ini tidak memasukkan gangguan seksual dalam talian atau alam siber.
“Apabila kita melihat akta ini, ia lebih kepada kes membabitkan pelaku yang boleh dikenalpasti, sama ada orang asing atau yang dikenali dan yang lain bergantung kepada mangsa. Mangsa tanpa mengira jantina, perlu bertindak sendiri membawa bukti-bukti ke tribunal, bersuara untuk diri sendiri dan peguam tidak dibenarkan dalam tribunal itu.
“Jika anda mengatakan ini adalah undang-undang sivil, ia bukan 100 peratus kerana anda sepatutnya layak membawa peguam. Ini sebabnya bahagian siber tidak termasuk dalam akta ini kerana bila kita lihat akta ini secara amnya, mangsa perlu mengenalpasti pelaku, “katanya.
Prinsip undang-undang adalah pendakwaan boleh dilakukan apabila tempat berlaku jenayah dikenalpasti.
Ini bermakna, jika jenayah berlaku di alam siber, alamat IP pelaku perlu dikesan.
Namun, jika pelaku berada di luar negara atau lokasi sukar dikesan, usaha untuk mendakwanya mungkin terhalang.
“Bagi mengatasi masalah ini, kita boleh memasukkan ke dalam akta, sub seksyen untuk bahagian siber yang hanya membabitkan beberapa perkataan.
“Mengemukakan bukti pula sangat sukar di bawah akta ini kerana mangsa tidak tahu bagaimana hendak mencari bukti. Gangguan ini mungkin berlaku di kawasan awam, sebagai contoh, seseorang mungkin meraba mangsa secara sambil lalu. Anda tidak tahu di mana hendak mendapatkan bukti,” katanya.
Berbeza dengan kes gangguan dalam tempoh berpanjangan di mana mangsa boleh mendapatkan bukti, rakaman percakapan atau perbuatan pelaku.
Tambahnya, draf undang-undang Keselamatan Dalam Talian sudah diluluskan pada Disember 2024 dan kini hanya menunggu prosedur untuk digunapakai.-UTUSAN










