GEORGETOWN: Pulau Pinang tidak akan terpengaruh dengan cara Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor yang disifatkan menggunakan provokasi bagi menjawab persoalan berkaitan isu bekalan air di Sungai Muda serta projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP).
Sebaliknya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak) berkata, Pulau Pinang menerusi Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan operator bekalan air negeri, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan menjawab isu berkenaan dengan tenang selain mengemukakan fakta.
“Kalau layan provokasi Kedah jadi tak cerdik, biar sahaja jiran macam itu tidak apa.
“Soal Menteri Besar Kedah biar sahaja dia mahu berkelahi cara budak-budak, kita beri fakta secara profesional dan kita perlu menyokong PBAPP dalam memberikan perkhidmatan air yang terbaik untuk Pulau Pinang,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi dilaporkan menuntut RM50 juta setahun daripada Pulau Pinang kerana mengabstrak air mentah dari Sungai Muda dan pampasan RM100 juta setahun daripada Kerajaan Pusat selepas menghentikan pembalakan di hutan Ulu Muda.
Selain itu, Kedah turut dilaporkan akan melaksanakan projek KXP yang dikhuatiri akan menjejaskan sumber bekalan air di Sungai Muda dan mengganggu bekalan air mentah ke Pulau Pinang.
Menurut Saifuddin, beliau memuji cara Kon Yeow dalam menghadapi provokasi Kedah yang sentiasa tenang dan profesional memberikan penjelasan berhubung isu bekalan air Sungai Muda.
Tambahnya, Pulau Pinang juga telah mengemukakan fakta secara profesional mengenai projek KXP yang dikhuatiri mengancam Sungai Muda yang menjadi sumber air utama rakyat negeri ini.