Ketua ajaran PMYT 'Sittah Annur' bebas jaminan polis

Sittah Annur bebas jaminan polis

SITTAH ANNUR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Wanita yang mendakwa Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT), Sittah Annur dibebaskan dengan jaminan polis hari ini selepas tempoh reman tamat.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya kini sedang menunggu laporan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengikut arahan Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Suspek sudah dibebaskan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan JAKIM atas arahan Timbalan Pendakwa Raya,” katanya di sini hari ini.

Sabtu lalu, media melaporkan wanita berusia 39 tahun itu ditahan di rumahnya di Shah Alam, Selangor kira-kira pukul 1.10 pagi..

Serbuan itu turut menemukan resit berjumlah RM84,721, dipercayai hasil sumbangan pengikutnya.

Siasatan awal mendapati wanita itu mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, Malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

Suspek juga mengaku sebagai Ketua PYMT dan mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat Islam lain.

Kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 masing-masing kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN