Lebih 21,000 kanak-kanak di Gaza cacat akibat perang - PBB - Utusan Malaysia

Lebih 21,000 kanak-kanak di Gaza cacat akibat perang – PBB

KANAK-KANAK Palestin, Gade Debabesh antara yang kehilangan anggota badan akibat kekejaman tentera Israel di Semenanjung Gaza. – AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GENEVA: Sekurang-kurangnya 21,000 kanak-kanak di Gaza mengalami kecacatan sejak tercetusnya perang antara Israel dan Hamas pada 7 Oktober 2023, menurut Jawatankuasa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Orang Kurang Upaya (OKU).

Dalam laporan yang dibentangkan Rabu lalu, jawatankuasa itu berkata kira-kira 40,500 kanak-kanak cedera akibat konflik berterusan hampir dua tahun itu, dengan lebih separuh daripadanya kini hidup dengan kecacatan kekal.

Jawatankuasa turut menegaskan bahawa arahan pemindahan yang dikeluarkan tentera Israel semasa serangan di Gaza sering tidak boleh diakses oleh golongan yang mempunyai masalah pendengaran atau penglihatan, sekali gus menjadikan pemindahan mereka mustahil.

“Terdapat laporan bahawa golongan kurang upaya terpaksa melarikan diri dalam keadaan tidak selamat dan tidak bermaruah, termasuk merangkak melalui pasir atau lumpur tanpa sebarang bantuan mobiliti,” menurut laporan itu.

Sekatan terhadap bantuan kemanusiaan yang dibawa masuk ke Gaza pula didapati memberi kesan lebih besar kepada golongan OKU. Ramai yang terputus bekalan makanan, air bersih dan sanitasi, lalu bergantung sepenuhnya kepada orang lain untuk terus hidup.

PBB juga menyorot perbezaan besar antara sistem agihan bantuan kini dengan sistem terdahulu. Yayasan Kemanusiaan Gaza yang disokong Amerika Syarikat (AS) dan Israel hanya mempunyai empat pusat agihan di seluruh Gaza, berbanding kira-kira 400 pusat agihan ketika PBB mengetuai operasi.

Halangan fizikal seperti runtuhan perang dan kehilangan alat bantuan mobiliti turut menghalang golongan kurang upaya daripada mengakses pusat bantuan.

Laporan itu mendedahkan 83 peratus daripada mereka telah kehilangan kerusi roda, tongkat, alat penyokong atau kaki palsu dan kebanyakan tidak mampu membeli alternatif lain seperti kereta kuda.

Lebih membimbangkan, alat mobiliti seperti kerusi roda dan kaki palsu dikategorikan pihak berkuasa Israel sebagai barangan dwiguna sekali gus tidak dibenarkan masuk dalam penghantaran bantuan.

Jawatankuasa PBB itu menggesa penghantaran besar-besaran bantuan kemanusiaan kepada golongan kurang upaya di Gaza, sambil menekankan keperluan semua pihak yang terlibat dalam konflik untuk melaksanakan langkah perlindungan bagi mengelakkan lebih banyak keganasan, kecederaan, kematian dan pencabulan hak asasi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN