Sindiket proses dadah berusia sebulan tumpas - Ayob

Sindiket proses dadah berusia sebulan tumpas

AYOB Khan Mydin Pitchay (tiga dari kiri) menunjukkan bahan memproses dadah yang terbongkar selepas menahan 10 suspek di daerah ini dan Iskandar Puteri pada sidang akhbar di IPK, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah yang baharu beroperasi lebih sebulan lalu dengan kejayaan menangkap 10 ahli dalam satu operasi, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, operasi yang dijalankan bermula pukul 1.45 petang itu melibatkan tujuh serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru dan Iskandar Puteri.

Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20 hingga 34 tahun, terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita yang kesemuanya warga tempatan.

“Dalam serbuan pertama, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun bersama sejumlah dadah, sebelum enam serbuan susulan dibuat dan menangkap sembilan lagi suspek lain. Polis bagaimanapun masih memburu empat lagi individu yang telah dikenalpasti termasuk seorang ketua mereka yang masih bebas.

“Dalam siri serbuan itu, kita merampas 25.2 kilogram (kg) heroin dan 14kg serbuk ekstasi yang kesemuanya bernilai RM1.03 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Tambah Ayob Khan, jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 172,666 orang penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyewa kediaman mewah di kawasan yang berpagar dan berpengawal untuk dijadikan sebagai stor dan makmal memproses dadah. Siasatan awal mendapati sindiket ini menghantar dadah yang dihasilkan untuk kegunaan pasaran tempatan dan juga luar negara, khususnya negara jiran,” ujarnya.

Ujar beliau, pihaknya turut merampas beberapa bahan kimia, peralatan memproses dadah, empat buah kenderaan dan tiga barangan kemas yang bernilai keseluruhan RM194,000.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan dibuat, lima daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah dan perlakuan jenayah.

“Seorang daripada suspek dikenakan tahanan reman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala sembilan yang lain disiasat dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985,” ujarnya.

Sejak 1 Januari hingga 15 September lalu, Polis Johor telah menahan seramai 9,363 orang atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah dan telah membuat rampasan dadah sebanyak 10.95 juta tan bernilai RM352.45 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya