Sindiket buat kek, biskut ganja tumpas - Utusan Malaysia

Sindiket buat kek, biskut ganja tumpas

LAPORAN Utusan Malaysia 27 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket memproses kek dan biskut ganja dengan menahan pasangan kekasih dalam serbuan berasingan di  sekitar Lembah Klang, di sini kelmarin. 

Kedua-dua individu berusia 28 tahun dan 34 tahun itu hasil risikan selama sebulan dijalankan   menerusi Operasi Storm oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)  Kuala Lumpur. 

Ketua JSJN Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sahar Abd. Latif berkata, serbuan pertama dibuat kira-kira pukul 3.50 petang apabila polis menahan sebuah kereta jenis Honda City warna kelabu di hadapan lobi sebuah Residensi di Jalan Pudu.

Katanya, seorang lelaki berusia 34 tahun itu ditahan dan menemukan dua kotak dan beg kertas yang mengandungi 25 balang biskut berasaskan ganja seberat  7.37 kilogram (kg) serta 53 biji kek seberat 5.3 kg.

“Penahanan itu membawa kepada satu lagi serbuan di sebuah residensi di PJ Midtown, Jalan Kemajuan, Petaling Jaya, Selangor. 

“Hasil serbuan tersebut, seorang wanita ditahan dan merampas pelbagai aduan berasaskan ganja iaitu 131 balang biskut seberat 35.9 kg, 41 biji kek (4.3 kg), lapan ketulan mampat (7.8 kg), empat periuk cecair 31 kg dan beberapa peralatan untuk membuat kek dan biskut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Sahar, hasil siasatan awal polis mendapati sindiket yang bergiat aktif sejak lima bulan lalu menjadikan kediaman mereka sebagai tempat memproses kek dan biskut berasaskan kanabis. 

Jelasnya, premis tersebut disewa selama lapan bulan dengan bayaran sewa RM 3,000 bagi sebulan.

“Hasil siasatan lanjut, modus operandi sindiket ini adalah dengan mendapatkan bekalan dadah jenis ganja sebelum memproses sendiri dadah tersebut untuk dijadikan kek dan biskut.

“Kemudian menjual dengan harga RM100 bagi sebalang biskut dan RM50 bagi satu biji atau 100 gram kek,” jelasnya.

Tambah Sahar, pelanggan terdiri daripada kenalan rapat dalam media sosial iaitu Instagram.

“Kita percaya biskut dan kek ini mempunyai impak negatif jika dimakan oleh golongan kanak-kanak. 

“Oleh itu polis menasihatkan agar orang ramai tidak membeli atau memiliki apa jua makanan yang mempunyai kandungan ganja atau dadah lain terutama kepada kanak-kanak,” katanya. 

Beliau berkata, kedua-dua mereka kini direman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Turut disita, wang tunai berjumlah RM 11,790 dan sebuah kenderaan jenis BMW X3.

Jun lalu, Utusan Malaysia mendedahkan pengguna dadah kini beralih kepada kek atau brownies ganja bagi mengaburi pihak berkuasa.

Kek tersebut yang dicampur dengan tepung dipercayai lebih khayal dan sukar dikesan melalui ujian air kencing. – UTUSAN MALAYSIA

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya