KOTA KINABALU: Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal lantang menyuarakan ketidakadilan yang diterima oleh Sabah dalam pelbagai aspek termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Mohd. Shafie (Warisan-Senallang) menuntut agar kuasa autonomi menguruskan hasil negeri dikembalikan kepada Sabah demi kepentingan rakyat di negeri ini. Sabah seharusnya diberi kuasa menguruskan hasil balak, minyak, gas dan lain-lain.
Katanya, Sabah harus menuntut royalti minyak 20 peratus kerana 37 peratus minyak di negara ini diperoleh daripada Sabah. Sejak 1974 hingga sekarang perkongsian masih 95 kepada lima peratus, kini sudah masuk 2021, hak Sabah perlu dikembalikan.
“Kita selaku wakil rakyat harus menuntut untuk selaraskan pentadbiran ini. Kelantangan kita bersuara tentang isu-isu berkaitan negeri bukan untuk kepentingan diri sebaliknya untuk rakyat di peringkat akar umbi.
“Lihat sahaja kejadian tanah runtuh yang berlaku di Sembulan baru-baru ini. Tidak seorang pun datang melawat, di Selangor menerima RM1juta bagi memperbaiki kawasan tanah runtuh tapi, kita nampak berapa peruntukan diberi kepada Sabah?,” katanya dalam perbahasan dasar kerajaan sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-16 hari ini.
Menurutnya, baki empat tuntutan dalam MA63 perlu diselesaikan dengan kadar segera demi kepentingan Sabah dan Sarawak.
Justeru, kata beliau lagi, Kerajaan Persekutuan harus menyemak semula peruntukan khas yang diberikan kepada Sabah yang terlalu sedikit. Kerajaan Persekutuan harus mengembalikan 40 peratus hasil kepada negeri ini.
Sejak tahun 1974, tunggakan peruntukan khas yang perlu diberikan kepada Sabah kira-kira 50 bilion.
Mohd. Shafie juga menggesa agar hasil pelancongan yang diberikan kepada Sabah disemak semula dengan menggunakan formula 40 peratus daripada jumlah hasil perolehan seperti termaktub dalam MA63.
Jelasnya, pemberian lesen penangkapan lautan dalam yang dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan juga perlu dikembalikan kepada Sabah.
“Sekiranya MA63 dilaksanakan maka, tidak akan timbul pertindihan dari segi pentadbiran. Sabah mempunyai kuasa mentadbir wilayah Sabah dan Persekutuan mentadbir hal-hal di bawah bidang kuasanya,” katanya.- UTUSAN ONLINE










