Shahidan buat kejutan tekan butang panik bagi uji siap siaga di Putrajaya - Utusan Malaysia

Shahidan buat kejutan tekan butang panik bagi uji siap siaga di Putrajaya

TANGKAP layar memaparkan Shahidan Kassim (kanan) menguji butang panik sambil disaksikan Muhammad Azmi Mohd. Zain di Putrajaya, semalam. – IHSAN PPj
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seorang petugas Putrajaya Command Centre tidak terkejut apabila diuji sendiri tahap kesiapsiagaannya oleh Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

Menteri Wilayah Persekutuan itu bertindak demikian sewaktu meninjau keadaan di Sisiran Tasik Presint 1 sebelum mencuba butang panik dipasang di kawasan berkenaan.

“Assalamualaikum… Saya ni, Shahidan, menteri. Tengah buat percubaan. Okay terima kasih. Ada nampak gambar saya,” katanya dalam nada bersahaja ketika menguji fasiliti itu.

Video 45 saat ini turut dimuat naik menerusi akaun sosial Perbadanan Putrajaya (PPj) malam tadi yang turut memaparkan Presidennya, Datuk Muhammad Azmi Mohd. Zain.

Rakaman daripada kamera litar tertutup (CCTV) pada papan pemuka di butang tersebut juga menunjukkan petugas itu mengambil lima saat menjawab panggilan sejurus selepas siren berbunyi.

Shahidan yang kelihatan berpuas hati dengan respons pantas pusat berkenaan kemudian membuka seketika pelitup muka apabila petugas itu tidak percaya beliau sedang bercakap.

“Okay, sudah nampak muka saya, betul kan,” jelasnya meyakinkan staf itu sambil tersenyum ketika meluangkan masa berjalan kaki sekitar pukul 6 petang di laluan tebing tasik tersebut.

Menurut PPj dalam hantaran berkenaan, terdapat sejumlah 89 butang panik dan 462 unit CCTV di seluruh Putrajaya malah bilangan tersebut sedang ditambah dari masa ke semasa,  dengan tiang butang panik itu dilengkapi lampu siren berwarna merah yang menyala dan berbunyi kuat apabila ditekan di samping kamera mampu merakam jelas wajah pengadu.

Kemudahan butang kecemasan itu memang disediakan di lokasi strategik sebagai antara inisiatif Bandar Pintar dan Bandar Selamat Putrajaya yang sudah wujud lebih dua dekad lepas.

Peranan butang tersebut membolehkan orang awam berhubung terus dengan pusat arahan induk PPj itu sekiranya berlaku kecemasan khususnya jika telefon bimbit gagal berfungsi bagi memudahkan bantuan daripada pelbagai agensi sama ada polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.

Pusat berkenaan ditubuhkan pada 2004 melalui penggunaan telekomunikasi gentian optik berteknologi tinggi buatan Jerman selain CCTV pintar dengan kualiti video berdefinisi tinggi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN