Seramai 300 calon ujian lesen memandu 'tersadai'

Seramai 300 calon ujian lesen memandu ‘tersadai’

RAMLI Ahmad menunjukkan notis tuntutan bayaran sewa tapak pusat memandunya di Teluk Intan, Perak, semalam. – FOTO/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Hasrat seorang ibu tunggal untuk mendapatkan le­sen memandu bagi menguruskan keperluan tiga anaknya masih tidak tercapai berikutan pusat ujian memandu di sini masih ti­dak dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.

Wanita itu merupakan antara 300 calon yang masih ‘tersadai’, menunggu untuk menduduki ujian memandu sejak enam bulan lalu namun masih belum dapat dilaksanakan sehingga kini.

Pengurus Gabungan Sekolah Memandu Hilir Perak Sdn. Bhd., Datuk Ramli Ahmad berkata, dia simpati dengan keadaan calon ujian lesen memandu yang belum dapat menduduki ujian di­sebabkan pusat memandunya ti­dak dibenarkan beroperasi.

Menurutnya, calon yang sudah mendaftar di pusat itu berusia antara 21 hingga 30 tahun bagi mendapatkan lesen memandu.

Katanya, mereka memohon lesen memandu untuk kemudahan ke tempat kerja dan pelbagai urusan lain.

“Ada di antara mereka sudah mendaftar untuk menduduki ujian lesen memandu sejak Ja­nuari lalu namun sehingga kini masih dapat menjalani ujian.

“Saya simpati dengan kea­daan mereka masih tertunggu-tunggu untuk dapat lesen. Saya harap kerajaan melihat masalah ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Dalam masa sama, Ramli me­ngakui terbeban dengan sewa tapak pusat memandu itu apabila menerima notis pembayaran sebanyak RM25,500 daripada Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) yang perlu dijelaskan.

“Kerana tidak dapat berope­rasi, saya terbeban kerana terpaksa membayar hutan bank, gaji pekerja dan tenaga pengajar yang lain di pusat ini.

“Jika keadaan ini berterusan, mungkin kami gulung tikar,” katanya.

Seorang calon, Noriani Ibrahim, 36, berkata, dia sudah me­nunggu enam bulan bagi menduduki ujian memandu kereta namun terpaksa menangguhkan latihan memandu buat sementara waktu disebabkan PKP.

Katanya, keadaan itu menyusahkannya untuk berulang alik dari kampungnya di Kampung Baru Degong Langkap ke bandar Teluk Intan setiap kali hendak belajar memandu.

“Saya sangat memerlukan le­sen kereta untuk menghantar dan mengambil anak dari sekolah apabila sekolah dibuka nanti.

“Jika ada lesen memandu, mudah saya bergerak untuk hal kecemasan dan bekerja,” katanya.

Seorang lagi calon, Ahmad Syakir Sukri, 19, dia memerlukan lesen motosikal bagi memudahkannya apabila melanjutkan pelajaran.

“Bulan depan saya melanjutkan pelajaran, kalau tak ada lesen motosikal, susah untuk saya bergerak, selain untuk keperluan belajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN