YAN: Lebih 80 peratus anggota dan pegawai di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sehingga ini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, mereka dijangka dapat dilengkapkan dua dos suntikan dalam masa terdekat.
Menurutnya, setakat ini, pegawai KDN sendiri mencapai 96 peratus, warga Polis Diraja Malaysia pula 91 peratus manakala Jabatan Penjara Malaysia sudah menghampiri 100 peratus.
Katanya, kebanyakan mereka bertugas di barisan hadapan dan perlu menerima suntikan tersebut dengan segera untuk mengelakkan timbul masalah kepada orang awam.
“Mereka adalah barisan hadapan dan sepatutnya menjadi yang terawal menerima vaksin, jadi mereka tidak sepatutnya bawa masalah kepada rakyat,” katanya selepas meninjau lokasi terjejas dalam kejadian kepala air dalam program KDN Prihatin di Titi Hayun, di sini hari ini.
Ketika ditanya bentuk hukuman jika ada anggota yang enggan menerima vaksin, Hamzah berkata, pihaknya yakin semua warga agensi di bawah KDN akan menerima suntikan vaksin.
“Isu vaksin dalam kalangan anggota agensi di bawah KDN buat masa ini tidak ada kebimbangan, semuanya dalam keadaan terkawal,” ujarnya.
Selain itu, beliau memberitahu, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen akan melaksanakan inisiatif perkhidmatan bergerak sebagai platform bagi memudahkan urusan pemprosesan dokumen pengenalan diri penduduk yang terjejas susulan kejadian banjir di kaki Gunung Jerai di sini pada 18 Ogos lalu.
Menurutnya, kemudahan itu disediakan selepas kira-kira 50 laporan polis yang diterima berhubung kehilangan dokumen pengenalan diri seperti sijil kelahiran, MyKad dan pasport dalam bencana itu.
“Kita akan hantar ‘mobile truck’ JPN supaya penduduk terlibat boleh siapkan segala dokumen berkaitan yang hilang dan rosak dalam masa sejam sahaja,” katanya. – UTUSAN