PARIT BUNTAR: Jenazah Koperal Muhamad Akmal Muhamad yang terkorban dalam nahas jalan raya membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan lori dikebumikan di Kampung Teluk Pial, Kuala Kurau dibuat atas permintaan keluarga.
Bapa mentua Allahyarham, Mohd. Hadzri Napiah, 79, berkata, meskipun Muhammad Akmal, 35, berasal dari Kelantan, namun mereka sekeluarga sepakat untuk mengebumikannya di sini demi memudahkan urusan serta ziarah keluarga.
“Selain itu, ia memudahkan isteri dan anak menziarahi pusara Allahyarham. Keluarga Allahyarham di Kelantan juga menerima keputusan itu dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemui pada pengebumian Muhammad Akmal di sini.
Muhamad Akmal antara sembilan anggota FRU terkorban dan meninggalkan seorang isteri serta dua orang anak, lelaki dan perempuan masing-masing berumur enam dan dua tahun.
Dalam pada itu, Mohd. Hadzri berkata, Allahyarham sempat pulang berhari raya Aidilfitri sebelum kembali ke Ipoh kerana tugasan.
“Dia ada beritahu hendak pulang ke kampungnya di Kelantan pada Aidiladha nanti, tapi tak sangka itulah kali terakhir kami bertemu,” katanya.
Terdahulu, kesemua sembilan jenazah anggota FRU itu diberikan penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sembilan anggota yang terkorban ialah Sarjan S. Perumal, 44; Sarjan Mohd. Roslan Abd Rahim, 46; Koperal Mohd. Pozli Jaudin, 41; Koperal Nurit a/l Pandak, 34; Koperal Amiruddin Zabri, 38; Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan, 38; Muhamad Akmal; Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, 33, dan Konstabel Akmal Wafi Annuar, 28.
Istiadat penghormatan itu diadakan di FRU Unit 5 Sungai Senam di sini pada pukul 3.30 pagi semalam yang dihadiri lebih 500 orang terdiri daripada warga PDRM dan ahli keluarga serta kepimpinan negeri.
Kesemua jenazah mangsa yang dibawa tiba dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, setelah selesai bedah siasat di Hospital Teluk Intan.
Solat jenazah diadakan buat tujuh mangsa yang beragama Islam sebelum kesemuanya dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.-UTUSAN










