KULIM: Seramai sembilan lelaki yang berkumpul tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditahan dan dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dalam Op Ambang Merdeka di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Sazalee Adam berkata, sembilan lelaki terbabit yang tidak memakai pelitup muka ditahan berhampiran sebuah restoran di Butterworth-Kulim Expressway (BKE) di sini pada pukul 6.20 pagi.
Menurutnya, kesemua lelaki yang berusia antara 16 hingga 22 tahun itu kemudian dibawa ke balai polis di sini untuk siasatan dan dikenakan kompaun tersebut.
“Mereka ditahan mengikut Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan ) 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Sazalee memberitahu, polis juga menahan dua lagi lelaki berusia 18 dan 22 tahun atas kesalahan di bawah Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Katanya, dua lelaki itu ditahan di dua tempat berasingan iaitu di pekan Kulim dan Jalan Kulim-Baling di sini pada pukul 4.20 pagi serta 5.30 pagi.
“Hasil pemeriksaan, enjin kedua-dua motosikal yang ditunggangi mereka didapati dicanai untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa,” jelasnya.