PUTRAJAYA: Sebuah lagi perkampungan masyarakat Orang Asli dari kalangan etnik Semai di Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Ahad ini.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri, Datuk Rodzi Saad berkata, kali ini lokaliti tersebut ialah Kampung Sungai Padi dalam Mukim Telang, Daerah Lipis.
Perkampungan ini berjiran pula tiga kluster komuniti termasuk dua yang masih dilaksanakan lagi PKPD iaitu Kampung Baru Lipis dan Kampung Orang Asli suku Semai Dusun Pak Senam.
Turut dikenakan PKPD ialah satu lokaliti di Sabah iaitu Kampung Air, Daerah Beluran dan kedua-dua lokaliti baharu itu berkuat kuasa perintah tersebut mulai Ahad ini sehingga 2 Oktober.
Dalam pada itu, hanya satu lokaliti yang sepatutnya berakhir PKPD esok, tetapi disambung lagi selama 14 hari iaitu Taman Samudera di Seri Manjung, dalam Daerah Manjung, Perak.
Sementara satu lokaliti di negeri tersebut ujar Rodzi, ditamatkan PKPD esok setelah diwartakan sejak 5 September lalu iaitu Kampung Orang Asli Sungai Cincin, Daerah Batang Padang.
Satu lagi lokaliti yang juga berakhir sama pada esok seperti telah dijadualkan oleh pihak MKN ialah kawasan sekitar Pekan Padang Tengku di Mukim Gua dalam Daerah Lipis, Pahang.
Penamatan PKPD tersebut melibatkan keseluruhan Kampung Baru, Taman Bakti, Taman Dahlia serta deretan kedai di Pekan Padang Tengku. – UTUSAN