Sanusi mahu kekal jadi diri sendiri - Utusan Malaysia

Sanusi mahu kekal jadi diri sendiri

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR:  Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor menegaskan, beliau tetap kekal menjadi diri sendiri daripada bekerja dalam keadaan berlakon semata-mata demi memuaskan hati orang lain.

Malah katanya, tindakan beberapa wakil pembangkang membangkitkan isu mengenai perwatakan dirinya di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) juga adalah sesuatu yang tidak perlu kerana persidangan tersebut sepatutnya menjadi tempat perbincangan mengenai hal-hal negeri dan rakyat.

Katanya, sebagai seorang yang suka bergurau, beliau akan terus bergurau bersama kenalannya termasuk rakan-rakan wartawan.

“Kalau orang lain nak jadikan perkara itu serius, terpulang pada mereka. Saya tidak akan bekerja dalam keadaan berlakon dan akan terus menjadi diri sendiri.

“Dalam sidang akhbar, saya selalu sebut nama wartawan tetapi itu pun ada orang lain yang merungut dan mengatakan tidak perlu sebut nama ketika sidang akhbar. Semua orang nak aturkan saya jadi macam mana tetapi saya tetap akan jadi diri sendiri dan mereka boleh jadi diri mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di sini hari ini.

Beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang antaranya Datuk Johari Abdul serta Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir serta ADUN Kulim, Yeo Keng Chuan sejak kelmarin menegur Muhammad Sanusi agar lebih berhati-hati dalam memberi kenyataan.

Malah hari ini, ADUN Pengkalan Kundur, Datuk Dr. Ismail Salleh  turut membangkitkan perkara sama dengan mengungkit gurauan Muhammad Sanusi dalam isu kontena jenazah beberapa bulan lalu.

Muhammad Sanusi menambah, gurauan dilakukannya dianggap sebagai terapi bagi menghadapi tekanan kerja selain mengeratkan hubungan dengan mereka di sekelilingnya.

“Nak suruh saya cakap bahasa muluk-muluk atau bangsawan, saya tidak reti. Jadi saya cakap bahasa saya sajalah.

“Kalau benda macam itu pun nak bawa masuk Sidang DUN, saya rasa tidak patutlah kerana prestasi dan pencapaian sepatutnya dinilai daripada hasil pentadbiran termasuk daripada segi produktivitinya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya