PETALING JAYA: Lakaran wajah lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching, di sini, pada 26 Ogos lalu diedarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan suspek.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera semasa melakukan rompakan.
“Imej pengecaman fotofit penjenayah yang dipadankan berdasarkan keterangan saksi.
“Polis memohon kerjasama orang ramai sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkenaan identiti suspek untuk membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Noramalina Md Jamil di talian 017-3185868 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, sepasang kekasih cedera selepas diserang tiga lelaki dalam kejadian samun motosikal di Jalan Kuching pada 26 Ogos lalu.
Kejadian itu mengakibatkan mangsa lelaki cedera di muka dan badan, manakala teman wanitanya cedera di bahu kanan serta tidak sedarkan diri dan dirawat di HKL.
Tangan kanan mangsa wanita terbabit juga terpaksa dipotong akibat kecederaan dialaminya dalam kejadian itu.
Berdasarkan laporan, mangsa dan teman wanita menaiki motosikal Y15ZR dari arah Jalan Kuching menghala ke Jinjang sebelum didatangi individu menaiki motosikal Honda RS150 warna kelabu.
Siasatan awal mendapati suspek terdiri tiga lelaki tempatan melarikan motosikal milik mangsa bernombor pendaftaran VFU 814. – UTUSAN ONLINE