Sabah benarkan selam skuba, renang - Utusan Malaysia

Sabah benarkan selam skuba, renang

MASIDI MANJUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memberi kelonggaran bagi membenarkan aktiviti sukan rekreasi air termasuk renang, snorkeling dan selam skuba berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kebenaran ini bagaimanapun tertakluk kepada individu yang sudah menerima vaksin lengkap dan perlu mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya dua hingga tiga meter.

Beliau berkata, itu antara perubahan dalam prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi negeri Sabah yang kini masih dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

“Bagi pengusaha restoran yang dibenarkan untuk meletakkan meja di ruang legar atau kaki lima restoran yang berkuat kuasa sejak 2 September lalu adalah bagi pengusaha yang sudah menyewa tapak berkenaan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tertakluk kepada SOP semasa.

“Sementara itu, pergerakan individu dari rumah yang sama dan golongan dewasa yang telah melengkapkan dua dos vaksin dibenarkan keluar mengikut jumlah kapasiti kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Masidi berkata, semalam Sabah mencatatkan sebanyak 2,404 kes positif Covid-19 dengan 35 kematian dan tiada sebarang kluster baharu dilaporkan.

Sehingga kini, jumlah kumulatif kes Covid-19 di Sabah sebanyak 155,006 kes manakala bilangan keseluruhan kes sembuh seramai 122,428 orang.

“Setakat Khamis, 41.5 peratus penduduk dewasa Sabah telah melengkapkan pengambilan vaksin dan 60.5 peratus memperoleh sekurang-kurangnya satu dos.

“Perubahan angka kes positif Covid-19 yang terus meningkat dengan saringan kontak rapat menyumbang sebanyak 1,393 kes menunjukkan masih berlaku ketidakpatuhan SOP yang telah digariskan sungguhpun pelbagai saranan dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN