PONTIAN: Seorang penternak kerugian kira-kira RM17,000 selepas enam ekor lembunya mati dipanah petir dalam kejadian pada pukul 3 petang, kelmarin.
Abdul Samad Samiran, 48, berkata, lima daripada haiwan itu adalah lembu betina dan seekor lagi adalah anak lembu jantan yang dilihat terbaring ketika dia ke kawasan ternakan selepas hujan reda.
Katanya, kejadian tersebut mengejutkannya yang memberi tumpuan sepenuhnya terhadap ternakan lembu sejak enam tahun lalu sebagai sumber pendapatan tambahan.
Jelasnya, dia kini mempunyai sebanyak 40 ekor lembu yang diternak secara terbuka di bawah pokok kelapa sawit dan memberikan makanan di kawasan yang disediakan di belakang rumahnya.
“Ketika kejadian hujan tidak lebat tetapi disusuli dengan panahan petir yang kuat sehingga menyebabkan lembu-lembu tersebut tumbang.
“Mujur tiada kejadian lebih buruk berlaku ke atas lembu-lembu yang lain di kawasan tersebut,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Pak Khalib, Pekan Nanas, hari ini.










