KOTA KINABALU: Pelaksanaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) diihat akan membawa kesan pengganda yang akan terus memacu pertumbuhan ekonomi Sabah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pakar Ekonomi Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Rafiq Idris berkata, apabila kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta teknologi digital dinaik taraf, dalam jangka masa panjang, ia pasti akan menarik kemasukan pelabur tempatan dan asing.
Melihat kepada perkembangan positif yang bakal berlaku itu, beliau menyambut baik RMK-12 yang memberi fokus untuk melonjakkan pembangunan Sabah, Sarawak dan negeri-negeri kurang membangun.
“Ini merupakan komitmen yang serius ditunjukkan oleh kerajaan bagi mengurangkan jurang pembangunan ekonomi antara wilayah.
“Perancangan perbelanjaan fiskal atau disebut sebagai RMK-12 ini sudah tentu berupaya mewujudkan peluang pekerjaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung pada jangka pendek, pertengahan mahupun panjang.
“Misalnya, apabila sesuatu projek pembangunan ingin dilaksanakan, sudah tentu ia memerlukan pekerja untuk melaksanakannya. Ini secara tidak langsung membuka peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan,” katanya.
Beliau yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Perakaunan UMS ini berkata, sekiranya RMK-12 ini dilaksanakan dengan perbelanjaan sebenar, efisyen dan mengikut jadual, ia pasti akan memberi kesan langsung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Sabah.
Ini akan menyokong usaha pemulihan ekonomi pada tahun akan datang serta berupaya menarik pelaburan domestik dan asing pada jangka pertengahan dan jangka panjang.
Mengulas lanjut katanya, usaha itu mampu membantu mengurangkan beberapa permasalahan semasa seperti kekurangan rumah mampu milik, masalah pengangguran dan isu-isu berkaitan logistik pada jangka masa yang panjang.
Rafiq sekali lagi menyatakan, beliau menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai RMK-12 yang diumumkan semalam.
“Saya menyifatkan pengumuman itu sebagai suatu perancangan perbelanjaan fiskal yang inklusif, usaha memulihkan ekonomi dan sesuatu mampu mewujudkan Keluarga Malaysia yang sejahtera dan makmur,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan akan berusaha melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak.
Pelaksanaan RMK-12 dijangka menyumbang kepada peningkatan pertumbuhan purata tahunan KDNK Sabah dan Sarawak masing-masing sebanyak 6.5 peratus dan 5.3 peratus.- UTUSAN ONLINE