RM2.1 juta makanan seludup jadi santapan ikan keli, haiwan zoo

RM2.1 juta makanan seludup jadi santapan ikan keli, haiwan zoo

NIK Muhammad Zawawi Salleh (depan, dua kanan) bersama wakil agensi yang menerima serahan bekalan makanan yang dilucut hak oleh Maqis Kelantan di Rantau Panjang, Pasir Mas, hari ini. - FOTO/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menyerahkan sebanyak 120 tan barang makanan yang telah dilucut hak kepada pelbagai pihak untuk dijadikan sumber makanan haiwan.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, serahan bahan makanan berupa keratan ayam sejuk beku, daging dan sosej bernilai RM2.1 juta itu adalah untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Menurutnya, serahan yang melibatkan pelbagai agensi dan jabatan di negara ini menerusi Program MAFI Prihatin bertujuan memastikan bekalan makanan haiwan sentiasa mencukupi.

“Kebiasaanya makanan ini kita serahkan kepada pihak Zoo sebagai makanan haiwan di sana dan Jabatan Penjara Malaysia yang mempunyai penternakan ikan keli serta Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC).

“Kesemua serahan itu adalah daripada hasil sitaan keluaran pertanian import dan telah dilucut hak kerana tidak mematuhi aspek perundangan di bawah Seksyen 11(1) Akta Maqis 2011 (Akta 728),” katanya kepada pemberita.

Terdahulu beliau menyerahkan bekalan makanan yang dilucut hak oleh Maqis Kelantan kepada enam agensi iaitu Jabatan Penjara Marang, Jabatan Penjara Machang, Jabatan Penjara Pengkalan Chepa, Zoo Taiping, NWRC Sungai Perak dan Royal Endurance Kelantan.

Dalam perkembangan lain, Nik Muhammad Zawawi berkata, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (KPPK) tidak akan bergabung dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dalam pentadbiran negara ketika ini.

Katanya, biarpun ada pihak mencadangkan supaya kedua-dua kementerian digabungkan, kerajaan melihat tiada keperluan untuk berbuat demikian kerana masing-masing mempunyai skop kerja berasingan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN