Pulau Pinang perlu bantuan kerajaan Pusat laksana projek URC

Pulau Pinang perlu bantuan kerajaan Pusat laksana projek URC

JAGDEEP Singh Deo  ketika meninjau fasa kedua Program MOVAK Penjaja dan Peniaga Pulau Pinang di Dewan Sri Pinang, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang memerlukan bantuan dari segi perundangan dan peruntukan daripada kerajaan Pusat bagi membantu pelaksanaan projek Pembaharuan Semula Bandar (URC) di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, setakat ini lima projek telah diputuskan sebagai projek rintis URC dan akan dibangunkan oleh Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP). 

“Kerajaan negeri mempunyai halatuju yang jelas berhubung pelaksanaan projek URC ini dan kerajaan Pusat diharap dapat membantu dari segi perundangan dan peruntukan bagi pelaksanaan projek URC ini untuk memastikan rakyat dapat tinggal di kediaman yang lebih selesa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sebelum ini, kerajaan negeri mengumumkan projek rintis URC akan dilaksanakan di Blok 5 Mahsuri dekat Bayan Baru di sini yang dijangka bermula tahun depan.

Selain itu, empat lagi skim perintis melalui kaedah URC telah dikenal pasti iaitu Rumah Pangsa Taman Free School, Rumah Pangsa Padang Tembak, Taman Siakap di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Rumah Pangsa Mak Mandin di daerah Seberang Perai Utara (SPU).

Menurut Jagdeep, beliau akan mengadakan perjumpaan rasmi dengan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican esok di Putrajaya berhubung dengan isu-isu perumahan di Pulau Pinang.

“Sudah pasti antara yang akan dibincangkan adalah mengenai bagaimana untuk kita selesaikan isu melibatkan perundangan untuk tujuan pembangunan kawasan perumahan yang dikenapasti sebagai projek rintis URC.

“Saya telah berbincang dengan tiga Menteri KPKT sebelum ini dan adalah menjadi harapan Pulau Pinang agar Reezal Merican dapat membantu kita,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Jagdeep berkata, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti Vaksin Penjaja Pulau Pinang (MOVAK PVP) fasa kedua yang bermula 9 September dan berakhir hari ini dijangka berjaya mencapai sasaran dengan lebih 5,000 penjaga dan peniaga kecil menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Pelaksanaan program MOVAK PVP melibatkan penjaja dan peniaga ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri untuk menyokong pemulihan ekonomi penjaja dan peniaga.

“Kita mahu memastikan golongan tersebut divaksinkan segera agar dapat terus mencari rezeki dan menyumbang terhadap kitaran ekonomi negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN