GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang berharap harga siling borong dan harga runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) dikurangkan berikutan penggunaan kit tersebut dijangka meningkat dalam tempoh endemik hujung Oktober ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pihaknya mengalu-alukan pengumuman Kementerian Kesihatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung harga siling borong dan harga runcit bagi kit ujian pantas antigen itu yang masing-masing berharga RM16 (harga borong) serta RM19.90 (harga runcit).
“Bagaimanapun, kami berharap harga diumumkan boleh dikurangkan lagi berikutan penggunaan kit tersebut pastinya akan meningkat lagi dalam tempoh endemik,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan harga siling kawalan kit ujian kendiri Covid-19 ditetapkan pada harga RM19.90 bagi jualan runcit dan RM16 bagi jualan borong berkuat kuasa Ahad ini.
Pada masa ini, kit ujian Covid-19 berharga antara RM28 hingga RM41 di pasaran.
Menurut Kon Yeow (DAP-Padang Kota), kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak 500 set kit ujian itu kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen untuk diedarkan kepada mereka yang memerlukan.
“Pengumuman mengenai kaedah pengedaran akan diumumkan dalam waktu terdekat. Kerajaan negeri juga akan menanggung kos lebih dari RM400,000 untuk perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) memaklumkan daripada 32 kes membabitkan varian Delta di Pulau Pinang, sebanyak 27 pesakit didapati tidak menerima suntikan vaksin Covid-19.
“Lima pesakit mendapat suntikan pertama dos vaksin dan tidak ada kes varian Delta membabitkan mereka yang telah lengkap dua dos vaksin.
“Sebanyak lapan kematian dilaporkan akibat varian Delta ini sementara 24 pesakit lagi telah menyelesaikan rawatan dan dibenarkan keluar hospital,” katanya. – UTUSAN










