ProtectHealth sedia bantu vaksinasi PICK Remaja - Utusan Malaysia

ProtectHealth sedia bantu vaksinasi PICK Remaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (ProtectHealth) komited  meneruskan kesinambungan dalam pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja) dengan  penglibatan pengamal perubatan swasta  (PPS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kesihatan  menerusi program jangkau luar sekolah, fasiliti kesihatan swasta, dan walk-in di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih.

ANAS ALAM FAIZLI

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Anas Alam Faizli berkata, penglibatan PPS dan NGO terbukti berkesan memaksimumkan dan mencapai sasaran vaksinasi dewasa ini yang kini mencapai 80 peratus populasi dewasa lengkap divaksin.

Menurut beliau, pihaknya menyumbang kejayaan PICK dewasa meliputi 47 peratus daripada jumlah keseluruhan dos vaksinasi melalui penglibatan PPS dan NGO iaitu sebanyak  19,116,154 dos daripada 40,375,056 dos vaksinasi.

“Peratusan sumbangan PPS dan NGO berdaftar dengan ProtectHealth dalam PICK  mengikut negeri daripada jumlah vaksinasi ialah Kuala  Lumpur 88 peratus, Selangor (73 peratus), Johor (60 peratus), Pulau Pinang (59 peratus), dan Negeri Sembilan (41 peratus).

“Selain itu di Melaka ( 33 peratus), Kedah (27 peratus), Terengganu (27 peratus), Perak (24 peratus), Sarawak (21 peratus), Pahang (20 peratus), Putrajaya (18 peratus), Sabah (15 peratus), Kelantan (12 peratus) dan Perlis (6 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anas berkata, lebih 3.2 juta remaja berumur 12 hingga 17 tahun terlibat dalam PICK-Remaja, dan  golongan remaja khususnya pelajar tingkatan 4 dan 5 perlu divaksinasi secepat mungkin sebelum pembukaan sekolah bulan depan.

Untuk itu, jelas beliau, PPS dan NGO kesihatan  berkemampuan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mempercepatkan kadar vaksinasi PICK Remaja.

Sehingga hari ini, katanya, lebih 2,200 PPV melibatkan PPS dan NGO yang diselia di bawah ProtectHealth telah dan sedang beroperasi di seluruh negara.

“Ini meliputi sebanyak 1,635 pengamal perubatan am swasta (PPVGP), 31 klinik pakar (PPVKP), 122 hospital swasta (PPVHS), 25 pusat jagaan ambulatori (PPVACC), 120 PPV Integrasi/Mega,  dan 155 sektor ekonomi kritikal (PPVIN) dan 153 PPV Outreach.

“ProtectHealth sebagai pelaksana penglibatan PPS dan NGO serta penjalin hubungan swasta  dan kerajaan dalam sektor kesihatan terus meningkatkan penglibatan PPS dan NGO di  dalam PICK,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN