Semua projek rakyat di Pulau Pinang tetap berjalan

Semua projek rakyat di Pulau Pinang tetap berjalan walaupun ketika pandemik 

JAGDEEP Singh Deo menunjukkan bangunan DUN Pulau Pinang yang juga merupakan bangunan warisan yang telah siap kerja-kerja pemulihannya ketika ini dalam sidang akhbar di Georgetown, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan memastikan setiap projek pembangunan yang dirancang untuk penduduk negeri itu termasuk projek-projek warisan berjalan dan siap mengikut jadual. 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, ini kerana hampir kesemua projek tersebut telah dimulakan sebelum berlakunya pandemik Covid-19. 

“Mesej kita jelas iaitu kita akan teruskan semua projek walaupun dalam suasana pandemik ketika ini. 

“Dalam hal ini juga, semua projek akan diambil kira termasuk projek-projek warisan di bawah UNESCO (Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa Bangsa Bersatu),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. 

Menurut Jagdeep, ketika ini Pulau Pinang sedang berusaha menarik perhatian UNESCO bagi mengiktiraf beberapa lagi projek warisan yang telah siap kerja-kerja pemulihannya. 

Jelasnya, untuk projek warisan yang masih dalam pembaikan atau pemulihan pula, semua kerja-kerja tersebut bagaimanapun dijangka siap menjelang 2024. 

“Pada masa sama, kita juga akan pastikan  projek warisan yang sedang dipulihkan itu mematuhi kriteria yang ditetapkan bagi mengelakkan daripada ‘delisted’ (dikeluarkan daripada senarai calon untuk diiktiraf),” ujarnya. 

Tambah beliau, projek Rancangan Kawasan Khas (RKK) Bukit Bendera yang sedang dinaik taraf turut tidak terkecuali yang mana akan mengambil kira pandangan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain mematuhi garis panduan yang ditetapkan. 

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Warisan Negeri Pulau Pinang, Rosli Nor yang baharu dilantik memegang jawatan itu awal bulan ini yakin kerja-kerja pemulihan beberapa lokasi warisan di negeri akan mengembalikan kegemilangan Pulau Mutiara itu. 

Beliau berkata, pihaknya juga akan memantau kerja-kerja tersebut bagi memastikan tidak melangkaui garis panduan yang ditetapkan sekali gus mencerahkan harapan Pulau Pinang sekali lagi untuk menerima pengiktirafan daripada UNESCO selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN