PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan teknikal dan seorang pengurus cawangan sebuah anak syarikat milik kerajaan direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur selepas disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM2 juta.
Kedua-dua suspek disyaki meminta rasuah daripada sebuah syarikat teknologi maklumat dan perkakasan berhubung satu kontrak perkhidmatan penyelenggaraan sistem telekomunikasi di selatan tanah air.
Menurut sumber, suspek utama iaitu lelaki berusia lingkungan 40-an telah ditahan kira-kira pukul 5.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kuala Lumpur
Suspek kedua yang juga merupakan seorang lelaki berusia lingkungan 50-an pula telah ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam di pejabatnya.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2021 hingga 2023 dan menerima rasuah secara bulanan kira-kira RM60,000.
“Siasatan yang dijalankan kerjasama antara Bahagian Perisikan dan SPRM KL ini turut mempercayai kedua-dua suspek telah menerima wang rasuah secara tunai,” katanya.
Terdahulu, perintah reman selama lima hari sehingga 12 April terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan Majistret Khairunnisak Hassni selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, pagi tadi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009.-UTUSAN










