MMA mahu status bekalan ubat dikongsi secara telus

Krisis Asia Barat: MMA mahu status bekalan ubat dikongsi secara telus

THIRUNAVUKARASU RAJOO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mencadang agar Stok Penimbal Strategik Nasional memberi keutamaan kepada ubat dalam Senarai Ubat Penting Kebangsaan (NEML), khususnya penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan kardiovaskular.

Presiden MMA, Datuk Dr. Thirunavukarasu Rajoo, perkara itu merupakan antara tiga langkah penting bagi memastikan akses perubatan kepada rakyat Malaysia terus terjamin ekoran konflik Asia Barat.

Katanya, Malaysia perlu mengambil langkah proaktif dalam mendepani keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan dan tidak boleh bergantung kepada keadaan semasa semata-mata dalam situasi geopolitik global yang tidak menentu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pertama, MMA mencadangkan supaya Stok Penimbal Strategik Nasional yang mahu diwujudkan kerajaan untuk memberi keutamaan kepada ubat dalam Senarai Ubat Penting Kebangsaan, khususnya bagi penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan kardiovaskular.

“Kedua, maklumat berkaitan status bekalan perlu dikongsi secara lebih telus dan proaktif dengan sektor swasta, termasuk klinik dan hospital, bagi memastikan kesinambungan rawatan pesakit.

“Ketiga, Malaysia perlu mempercepatkan pembangunan kapasiti pengeluaran ubat tempatan secara berstruktur dan berterusan, sebagai langkah jangka panjang ke arah kedaulatan kesihatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menyokong langkah diumumkan kerajaan bagi memastikan keterjaminan bekalan ubat dan peranti perubatan negara susulan krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.

“MMA mengiktiraf dan menyokong pendekatan yang diambil, termasuk Laluan Akses Khas bagi memastikan ubat dan peranti perubatan kritikal kekal boleh diakses; pemantauan stok secara berpusat, kepelbagaian sumber import, serta pengaktifan pelan tindak balas kecemasan.

“Perancangan penubuhan stok penimbal strategik nasional bagi jangka sederhana dan panjang selain pembangunan dasar keterjaminan ubat melalui MyMedSecure, serta usaha memperkukuh industri farmaseutikal tempatan,” katanya.

Dr. Thirunavukarasu berkata, Kementerian Kesihatan telah memaklumkan bahawa bekalan ubat negara masih stabil, tanpa peningkatan trend gangguan setakat ini.

“Pengilang tempatan juga dilaporkan mempunyai stok bahan mentah dan produk siap yang mencukupi untuk beberapa bulan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini