IPOH: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19 Stadium Indera Mulia di sini menerima individu untuk divaksin tanpa janji temu hari ini.
Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, ia merupakan keputusan segera yang dibuat berdasarkan jumlah bekalan vaksin serta kapasiti PPV itu.
“Kita akan sentiasa melihat keperluan dari semasa ke semasa bagi memastikan tidak berlaku kesesakan dan kehadiran terlalu ramai orang di PPV berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan ringkas hari ini.
Beliau mengulas makluman yang tular dalam media sosial sejak semalam bahawa PPV Stadium Indera Mulia menerima individu berusia 40 tahun dan ke atas untuk divaksin tanpa temu janji.
Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di PPV Stadium Indera Mulia mendapati berlaku sedikit kesesakan trafik di pintu masuk PPV berkenaan berikutan pusat berkenaan menerima individu untuk divaksin tanpa temu janji.
Namun, kesesakan berjaya dikawal anggota pasukan keselamatan yang bertugas.
Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerajaan negeri belum memutuskan sama ada untuk memperluaskan pemberian vaksin tanpa janji temu kepada individu bukan warga emas di negeri ini.
Katanya, sebarang keputusan mengenai perkara tersebut bergantung kepada jumlah vaksin yang diterima mengikut jadual serta sasaran pemberian bagi mengelak orang ramai bersesak-sesak di PPV. – UTUSAN










