PUTRAJAYA: Malaysia perlu memanfaatkan pandemik Covid-19 sebagai pemangkin untuk memperkukuh tahap kematangan politik demokrasi.
Profesor Madya di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, justeru, ramai pihak membayangkan semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), semua parti dan calon yang bersaing sentiasa menawarkan perkhidmatan terbaik untuk rakyat khususnya mencari jalan keluar daripada kemelut wabak ini.
Beliau berkata, kempen secara agresif yang mengitar semula isu dan retorik lama tanpa kesudahan tidak membawa apa-apa makna kepada politik demokrasi serta kesejahteraan rakyat.
Malah, katanya, rakyat semakin bijak membuat pilihan lebih-lebih lagi pandemik Covid-19 banyak menguji kehidupan mereka sekali gus dapat memilih keutamaan dengan lebih rasional.
“Rakyat sebenarnya mahukan pembelaan agar kebajikan kehidupan mereka terus terjamin dan terbela. Bukan terheret sama dengan permainan parti politik yang masih mendendangkan ‘lagu’ sama untuk kepentingan tertentu,” katanya ketika membentangkan kertas kerja di Webinar Politik, Etnisiti dan Peradaban: Malaysia Pasca 2020 anjuran Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, hari ini.
Mohd. Izani berkata, demokrasi dan pilihan raya tidak pernah terkalahkan oleh pandemik Covid-19 dan tidak pernah menjauh seperti diharapkan semua sekalipun menghilang daripada kehidupan.
Beliau berkata, begitulah pandangan umum apabila melihat peranan politik demokrasi semasa krisis pandemik terhebat dalam sejarah kemanusiaan ini.
“Pandemik Covid-19 sewajarnya meletakkan politik demokrasi pada tahap terbaik. Pandemik ini sepatutnya membuka pemikiran rakyat kita untuk mengangkat kerajaan dan pemimpin yang terbaik dan dapat mengurus negara semasa krisis.
“Kerajaan dan pemimpin perlu memandang ke hadapan dan sentiasa berfikir bagaimana untuk menjaga kepentingan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

								
											








