Polis rampas heroin, pil kuda bernilai RM1.4 juta - Utusan Malaysia

Polis rampas heroin, pil kuda bernilai RM1.4 juta

KAMARUL Zaman Mamat (dua dari kiri) menunjukkan dadah jenis heroin yang dirampas di IPK Kedah, Alor Setar, Kedah, hari ini. - UTUSAN/MOHD. RAFIE AZIMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Polis mematahkan cubaan sindiket memasarkan kira-kira 40 ketulan mampat dadah jenis heroin seberat lebih 15 kilogram (kg) yang dipercayai diseludup dari Thailand untuk dipasarkan ke selatan negara ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, rampasan heroin base serta 114 pil kuda seberat 12 gram yang dianggarkan bernilai RM1.4 juta itu dilakukan selepas pihaknya menahan seorang lelaki berusia 42 tahun di tepi Jalan Kampung Changhai, Changlun dekat sini kira-kira pukul 11 pagi, Jumaat lalu.

Kata beliau, dadah tersebut ditemukan di dalam bonet kereta jenis Toyota Corolla yang dipandu suspek.

“Pemeriksaan mendapati ketulan mampat dadah heroin base berwarna putih itu dibalut dengan plastik lut sinar serta kertas minyak berwarna coklat.

“Selain itu, kita menemukan 114 pil kuda berwarna merah dan hijau yang kesemuanya bertulis WY di tempat sama,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini hari ini.

Beliau menambah, susulan penahanan suspek yang bekerja sebagai juruwayar itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK kemudiannya menahan seorang pemandu lori berusia 37 tahun yang disyaki terlibat dalam sindiket sama di Kampung Padang, Mukim Temin dekat Changlun kira-kira tiga jam kemudian.

“Kita juga merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda, wang tunai berjumlah RM5,030 serta seutas rantai dan gelang bagi membantu siasatan,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, pihaknya masih mengesan rangkaian sindiket dadah tersebut selain mengenal pasti laluan yang digunakan sindiket untuk membawa dadah-dadah tersebut dari negara jiran.

“Jika terlepas ke pasaran luar, dadah jenis heroin base yang akan diproses ini dipercayai boleh digunakan sehingga 900,000 penagih,” ujarnya.

Tambahnya, kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula 11 September lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan tidak memiliki rekod jenayah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN