GEORGETOWN: Polis Pulau Pinang akan memantau lokasi pelancongan popular di negeri ini bermula hari ini sehingga Ahad ini sebagai indikator sama ada tindakan selanjutnya perlu diambil sekiranya berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di kawasan berkenaan.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, pihak polis tidak teragak-agak untuk mencadangkan penutupan sesuatu kawasan tumpuan pelancong kepada Kementerian Kesihatan (KKM) jika orang ramai masih tidak mematuhi SOP pencegahan Covid-19 yang telah ditetapkan.
“Pemantauan dijalankan selama empat hari, bermula hari ini hingga Ahad di kawasan tumpuan pelancong kerana hari ini cuti umum, esok (Jumaat) saya percaya ramai akan ambil cuti dan disambung dengan hari Sabtu dan Ahad.
“Polis akan memantau berserta dengan rakaman video serta gambar membabitkan kawasan tumpuan orang ramai. Jika ada peningkatan mendadak jumlah orang yang tidak mengikut SOP, kita akan syorkan penutupan lokasi tersebut,” katanya selepas meninjau kawasan Pantai Miami di Tanjung Bungah, di sini hari ini.
Menurut Mohd. Shuhaily, ketika cuti hujung minggu lalu pihak polis mendapati berlaku pertambahan jumlah pengunjung di kawasan pantai serta taman rekreasi di negeri ini.
“Pada hari ini, saya telah meninjau tiga lokasi tumpuan pelancong di bahagian pulau dan mendapati tiada pertambahan mendadak jumlah pengunjung. Namun dari segi pematuhan SOP, kita dapati masih ada yang belum mematuhi SOP dan kita ambil tindakan untuk nasihatkan mereka terlebih dahulu.
“Bagaimanapun, jika jumlah jangkitan naik dengan mendadak, kita akan mengambil tindakan tegas,” katanya.
Tambahnya, pihak polis juga menasihatkan penunggang basikal agar sentiasa mematuhi SOP dan menjaga keselamatan ketika melakukan aktiviti riadah berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata, polis akan meminta pusat pemberian vaksin (PPV) secara walk-in untuk golongan bukan warganegara memberi nombor giliran kepada penerima vaksin bagi memastikan tidak berlaku kesesakan di kawasan itu.
“Empat PPV akan mula menawarkan suntikan vaksin Covid-19 secara walk-in kepada warga asing di negeri ini bermula esok dan polis akan meningkatkan penguatkuasaan di PPV terlibat.
“Polis meminta PPV yang menawarkan secara walk in kepada warga asing memberi nombor giliran, sebagai contoh jika jumlah vaksin pada hari itu hanya 500 jadi hanya 500 sahaja nombor (giliran) diberikan, manakala yang tidak mendapat nombor akan diarahkan pulang,” katanya. – UTUSAN