PM lulus RM1 juta baik pulih Tebing Sungai Kemensah

PM lulus RM1 juta baik pulih Tebing Sungai Kemensah

SEBANYAK RM1 juta diluluskan oleh Perdana Menteri bagi kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan Tebing Sungai Kemensah serta lain-lain kerja yang berkaitan. 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi kerja-kerja pengukuhan dan penstabilan Tebing Sungai Kemensah serta lain-lain kerja yang berkaitan. 

Perkara itu dimaklumkan Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas dalam satu kenyataan hari ini. 

Menurut Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas, peruntukan itu adalah daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diurus oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ia akan digunakan untuk penyediaan laluan masuk, penyediaan platform jentera dan pemasangan cerucuk keping (sheetpile) sepanjang 200 meter untuk mengelakkan kerosakan harta benda penduduk yang tinggal berhampiran sungai tersebut,” kata kenyataan itu. 

Pada 17 September lalu, berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Kemensah Heights dipercayai akibat aliran air bawah tanah menyebabkan struktur tanah menggelongsor.

Kejadian itu turut menyekat aliran sungai di bawah bukit daripada terus mengalir, pergerakan aliran air bawah tanah dan mengakibatkan 27 buah rumah terjejas. 

Tambah Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas, kerja-kerja itu perlu dilakukan bagi membaik pulih aliran dan tebing sungai untuk mengurangkan risiko pergerakan tanah ke atas lot-lot unit kediaman di kawasan bersebelahan.

“Kajian penilaian dan tindakan ini diselaras secara bersama oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) dan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN