MELAKA: Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) untuk pelajar sekolah berjalan lancar dengan peratusan terkini mencatat sehingga 30.1 peratus, daripada keseluruhan 2.53 juta individu berusia 12 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama vaksin.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Pendidikan I, Senator Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, sebanyak 4.4 peratus pula telah lengkap dua dos melalui pelaksanakan Imunisasi di 687 pusat pemberian vaksin (PPV) awam sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT), klinik kerajaan dan balai polis.
Jelasnya lagi, hampir 10.9 peratus daripada 1.64 juta murid darjah enam hingga tingkatan 3 sudahpun mendapatkan dos pertama, diikuti sebanyak 63.3 peratus daripada 834,857 murid berusia 16 hingga 17 tahun.
“Secara keseluruhan program pemberian vaksin melibatkan murid dan pelajar sekolah di seluruh negara berjalan lancar dan mendapat sambutan yang baik daripada ibu bapa.
“Sebanyak 63.3 peratus daripada 834,857 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah menerima dos pertama, manakala 10.9 peratus daripada 1.64 juta murid berusia 12 hingga 15 tahun juga telah mendapat dos pertama mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan ke PPV Encore, Klebang di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Senator Datuk Lim Ban Hong dan Pengarah Pendidikan Melaka, Dr. Mohd. Azam Ahmad.
Dalam pada itu, Hang Soon menambah, untuk murid di Melaka, sebanyak 50.1 peratus daripada 26,683 murid berusia 16 hingga 17 tahun telah selesai diberikan dos pertama.
“Bagi murid berusia 12 hingga 15 tahun, sebanyak 11.5 peratus daripada 51,284 murid telah menerima dos pertama di sembilan PPV awam melibatkan 76 sekolah menengah.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sedang melakukan pelbagai pelbagai usaha untuk menggalakkan lebih banyak ibu bapa memberi kebenaran kepada anak-anak mereka mendapatkan suntikan vaksin Covid-19,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE










