PH akan terus main peranan semak dan imbang - Utusan Malaysia

PH akan terus main peranan semak dan imbang

MoU ditandatangani antara Kerajaan Persekutuan dan PH bagi mengembalikan kestabilan politik negara di Parlimen. - IHSAN PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani adalah bagi memastikan kerajaan tidak ditumbangkan di Parlimen.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, itu adalah antara salah satu daripada beberapa sebab mengapa MoU berkenaan ditandatangani kedua-dua pihak.

Katanya, tindakan demikian ada baiknya kerana kedua-dua pihak kini menumpukan kepada dua perkara utama iaitu melawan wabak Covid-19 dan memulihkan semula ekonomi.

“PH tidak menyerah kalah. PH tetap memainkan peranannya sebagai pembangkang yang bertanggungjawab di dalam Parlimen dan di luar Parlimen.

“Tindakan PH menandatangani MoU berkenaan juga tidak menghalang untuk melakukan semak dan imbang.

“Malah dalam MoU itu disebut secara bertulis tugas dan peranan PH sebagai pembangkang untuk melaksanakan tugas itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, senario politik tanah air mencatat sejarah apabila buat julung kalinya kerajaan dan pembangkang memeterai MoU bagi membentuk kerjasama dwi-partisan yang ampuh dan mantap selaras titah Yang di-Pertuan Agong.

HASSAN ABDUL KARIM

Sementara itu, Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor berkata, isu mengiktiraf kerajaan dan kedudukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak lagi berbangkit kerana beliau telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong secara sah.

“Jemaah Menteri juga telah dibentuk secara sah. Kerajaan beliau (Ismail Sabri) sah dari segi undang-undang dan Perlembagaan.

“PH tidak berhasrat untuk membawa usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri. Kerajaan yang patut membawa usul percaya terhadap beliau seperti yang dititahkan Agong pada 17 Ogos lalu di hadapan ketua-ketua parti,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.