KUANTAN: Seorang pesara tentera kerugian RM16,000 ditipu anak saudaranya dan seorang lelaki dipercayai menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian berlaku 6 Julai lalu apabila mangsa yang berusia dalam lingkungan 60-an itu dihubungi seorang lelaki melalui aplikasi WhatsApp dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis bernama ‘ASP Prakash’.
Menurutnya, suspek kemudian mengarahkan mangsa berurusan dengan seorang lelaki yang juga anak saudara mangsa bernama ‘Nuar’ bagi tujuan membebaskan anak mangsa yang ditahan polis.
“ASP Prakash membuat tawaran untuk membebaskan anak lelaki mangsa yang ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut atas kesalahan dadah melibatkan kes Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK).
“Kemudian suspek meminta mangsa berurusan dengan anak saudaranya dan meminta untuk disediakan sejumlah wang bagi urusan pembebasan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Wazir berkata, mangsa mengarahkan isterinya membuat empat transaksi pemindahan wang berjumlah RM16,000 kepada ASP Prakash melalui akaun bank milik individu lain.
“Bagaimanapun selepas selesai melakukan pemindahan wang itu, mangsa menerima panggilan daripada pihak Narkotik IPD Jerantut yang memaklumkan anaknya akan dihantar ke Penjara Simpang Renggam, Johor.
“Mangsa terkejut kerana sudah membuat bayaran bagi melepaskan anaknya dan tidak berpuas hati dengan kejadian tersebut.
“Pesara berkenaan meminta anak saudaranya memulangkan semula wang terbabit, namun gagal lantas mengesyaki Nuar bersubahat dengan pegawai polis berkenaan,” katanya.
Menurutnya, mangsa segera membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut, semalam untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – UTUSAN ONLINE