Pesakit Covid-19 Kategori 3 jalani kuarantin kendiri perlu guna HAT MySejahtera - Utusan Malaysia

Pesakit Covid-19 Kategori 3 jalani kuarantin kendiri perlu guna HAT MySejahtera

KHAIRY Jamaluddin beramah mesra dengan beberapa kakitangan Hospital Tampin ketika mengadakan lawatan ke hospital tersebut hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Pesakit Covid-19 Kategori 3 yang menjalani kuarantin kendiri diingatkan sentiasa menggunakan Home Assessment Tool (HAT) di MySejahtera bagi membolehkan tahap kesihatan mereka dipantau petugas kesihatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan, kemasukan ke hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) bagi pesakit tersebut diberikan keutamaan kepada mereka yang mempunyai komorbib.

Katanya, bagi yang tidak mempunyai gejala sememangnya mereka disarankan menjalani kuarantin di rumah, bagaimanapun dalam kes-kes tertentu seperti wanita hamil, warga emas atau keadaan rumah yang tidak mengizinkan, mereka dimasukkan ke hospital walaupun berada dalam kategori 3.

“Cuma yang tidak bergejala atau bergejala ringan dan tidak mempunyai komorbid yang dirasakan boleh menjalankan kuarantin di rumah, saya mahu ingatkan supaya mereka ini sentiasa menggunakan HAT dalam MySejahtera.

“Usaha kita untuk menurunkan kadar brought in death dapat kita jayakan sekiranya mereka yang kuarantin di rumah melaksanakan kawalan kendiri dan pemeriksaan kendiri untuk kita pantau status kesihatan mereka,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan ke Hospital Tampin, dekat sini hari ini.

Sebelum ini, terdapat pandangan supaya Kementerian Kesihatan terus memasukkan pesakit Covid-19 Kategori 3 ke hospital yang dilengkapi kemudahan unit rawatan rapi (ICU) dan peralatan penting khususnya bagi membantu sistem pernafasan berbanding membiarkan mereka menjalani kuarantin kendiri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini juga berkata, perlu diwujudkan hospital sementara bagi menampung pesakit kategori itu meskipun mereka dibenarkan menjalani kuarantin di rumah.

Ini kerana, menurut beliau, Kategori 3 menunjukkan tanda paru-paru pesakit dijangkiti, sekali gus memerlukan mereka kuarantin di hospital berbanding di rumah kerana fasiliti kesihatan itu dilengkapi alat bantuan pernafasan.

Sementara itu, jelas Khairy, sekiranya pesakit Kategori 3 berkenaan mendapati keadaan kesihatan mereka semakin merosot dan mengalami kesukaran bernafas, sakit dada atau ketepuan oksigen kurang daripada 95 peratus, mereka perlu segera menelefon ambulans dan mendapatkan kemasukan ke hospital atau PKRC.

“Itu pandangan buat masa ini untuk Kementerian Kesihatan, kami rasakan bahawa kalau untuk Kategori 3 dia boleh buat home assessment, cuma yang kita risau ini adalah peningkatan daripada segi kemerosotan gejala itu.

“Mesti mereka buat kawalan kendiri dan mereka mestilah menghubungi hospital atau kecemasan untuk dibawa ke hospital, katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN