Permohonan peneroka tukar tanaman getah kepada  sawit dipertimbang - Utusan Malaysia

Permohonan peneroka tukar tanaman getah kepada  sawit dipertimbang

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Kementerian Pembangunan Luar Bandar mempertimbang permohonan

seramai 360 peneroka di Felda Lubuk Merbau, di sini untuk menukar tanaman asal daripada getah kepada kelapa sawit pada projek penanaman semula tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, permohonan tersebut perlu diperhalusi kerana melibatkan dasar kementerian itu dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).

Katanya, antara faktor permohonan tersebut dibuat adalah perbandingan harga antara kedua-dua komoditi tersebut yang menyaksikan harga kelapa sawit lebih tinggi daripada getah.

“Keduanya faktor tenaga kerja sebab kalau hendak menoreh, perlu ada pekerja tetap. Kalau tak hujan, memang nak kena menoreh getah hari-hari.

“Permohonan untuk penanaman semula ini sebenarnya sudah dibuat lama tetapi ‘sangkut’ di zaman Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. Jadi selepas ini, insya-Allah kita akan laksanakan semula untuk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas diberikan taklimat mengenai program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau di sini, hari ini.

Mahdzir menambah, jumlah tanah felda yang terlibat dalam permohonan penukaran tanaman daripada getah kepada kelapa sawit di felda berkeluasan hampir 402 hektar.

“Selain itu terdapat juga permohonan daripada 56 peneroka untuk melakukan penanaman semula kelapa sawit kepada kelapa sawit di atas tanah seluas kira-kira 183 hektar.

“Semua tanaman semula itu yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun depan, adalah program untuk fasa satu.

“Bagi program tanaman semula fasa kedua pula, ia akan dilaksanakan pada 2023 melibatkan 231 peneroka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN