Perak tangguh jual istana lama - Saarani Mohamad

Perak tangguh jual istana lama

SAARANI MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri menangguhkan proses tender bagi penjualan tanah yang menempatkan istana lama, bekas Istana Raja Muda Perak di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan untuk tujuan komersial dan pembangunan bercampur. 

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira bantahan umum terhadap penjualannya.

Beliau berkata, penangguhan itu juga untuk membolehkan kajian terperinci dijalankan terhadap kawasan tapak istana lama seluas itu 2.092 hektar itu.

Saarani menjelaskan, cadangan untuk tender terbuka tanah itu telah diwartakan melalui warta kerajaan negeri pada 3 Disember lalu, berikutan keputusan mesyuarat exco kerajaan negeri pada  1 Julai 2020.

“Selepas itu, bantahan mengenai cadangan pembatalan tanah rizab Istana Raja Muda Perak ini diadakan pada 21 Jan lalu  di Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak tapi tiada bantahan diterima, maka pembatalannya telah diwartakan melalui warta kerajaan negeri pada 18 Mac,

“Berikutan itu, Pejabat Daerah dan Tanah Hilir Perak telah membuka tender terbuka bagi pemberi milikan tanah kerajaan itu melalui penentuan kadar minimum secara tender untuk tujuan komersial dan pembangunan bercampur mulai 15 September hingga 6 Oktober ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, namun berikutan bantahan awam terhadap penjualannya, mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini menangguhkan proses tender tapak istana lama itu untuk membolehkan kajian semula dibuat.

“Tanah yang dirizabkan itu untuk istana tapi istana itu telah tidak digunakan lagi,” katanya.

Mengenai beberapa lagi bangunan warisan sejarah Melayu di negeri ini yang dikhuatiri turut akan dijual atau rosak dimamah usia, Saarani berkata, bukan semua bangunan yang didakwa itu di bawah kerajaan negeri.

Menurutnya, ada di antaranya di bawah agensi Persekutuan seperti Jabatan Warisan Negara dan Jabatan Muzium malah ada tapak atau tanah tersebut milik persendirian.

“Kajian harus dilakukan kerana bukan semua banguan yang dikatakan warisan sejarah ini di bawah kerajaan negeri.

“Kita tak boleh bagi satu standard jawaban kerana ada sebahagiannya terlibat dengan undang-undang,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini menyiarkan laporan kawasan bangunan istana lama yang berkeluasan dua hektar di Teluk Intan dibuka untuk jualan secara bidaan terbuka.

Bagaimanapun, ia mendapat reaksi negatif pelbagai pihak khususnya ahli sejarah yang menyifatkan tinggalan warisan tersebut sewajarnya terus dikekalkan dan dipulihara.

Selain istana lama itu, Perak mempunyai  kira-kira 12 lagi bangunan warisan sejarah Melayu lain yang dikhuatiri turut akan dijual atau rosak dimamah usia.

Antara bangunan warisan Melayu  yang berdepan kemusnahan ialah Sekolah Melayu  Kampung Kuchai, Pejabat Warta dan Rumah Dato Seri Adika Raja yang kesemuanya terletak di Ipoh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN