Dewan resort terbakar, lebih 1,000 pekerja syarikat pembersihan cemas - Utusan Malaysia

Dewan resort terbakar, lebih 1,000 pekerja syarikat pembersihan cemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Lebih 1,000 pekerja sebuah syarikat pembersihan berdepan detik mencemaskan apabila dewan sebuah resort di Bukit Katil di sini yang sedang berlangsung majlis makan malam tiba-tiba terbakar, sebentar tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, kebakaran dipercayai berlaku sejurus selepas pengurus besar syarikat selesai menyampaikan ucapan, sebelum hadirin bertindak pantas keluar menyelamatkan diri.

Difahamkan, majlis makan malam berkenaan dianjurkan bagi meraikan para pekerja dan tindakan segera semua yang berada dalam dewan berjaya mengelak kejadian lebih buruk.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kesemua mereka selamat keluar sebelum api merebak lebih teruk.

Bagaimanapun, kejadian menyebabkan seorang individu mengalami kecederaan ringan, dipercayai akibat terdedah kepada bahang panas ketika menyelamatkan diri.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd. Hafidzatullah Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.14 malam.

Menurutnya, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Katil digerakkan ke lokasi sejurus menerima maklumat awal kejadian.

“Kesemua orang awam yang berada dalam dewan berjaya keluar dengan selamat dan setakat ini operasi pemadaman masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×