Pengurusan program MM2H kurang cekap, berkesan

Pengurusan program MM2H kurang cekap, berkesan

PENGURUSAN Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) secara keseluruhannya adalah kurang cekap dan kurang berkesan seperti dijelaskan menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pengurusan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) secara keseluruhannya adalah kurang cekap dan kurang berkesan seperti dijelaskan menerusi  Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2.

Menurut laporan tersebut, ditemukan beberapa kelemahan iaitu syarat minimum pendapatan tetap luar negara berjumlah RM10,000 sebulan tidak pernah dikaji semula sejak program itu dimulakan pada 2002.

Selain itu, antara kelemahan lain adalah risiko penularan penyakit berjangkit berbahaya disebabkan prosedur mengenai pengakuan tahap kesihatan pemohon MM2H yang tidak selari.

“Risiko keselamatan negara disebabkan ketiadaan syarat keperluan Letter of Good Conduct (LOGC) bagi tanggungan peserta. Malah didapati anak peserta menikmati kelayakan sebagai tanggungan walaupun telah berumur melebihi 21 tahun kerana peraturan yang tidak seragam.

“Ketidakpatuhan terhadap peraturan program MM2H apabila terdapat peserta dan tanggungan kepada peserta bekerja di Malaysia,” jelas laporan berkenaan.

Pengauditan terhadap MM2H juga mendapati ketiadaan punca kuasa menyebabkan tindakan perundangan terhadap kes salah laku syarikat atau ejen tidak dapat dilaksanakan.

“Ketidakberadaan peserta dalam tempoh yang lama dalam negara menyebabkan objektif program MM2H untuk peserta tinggal dan hidup mewah di Malaysia tidak tercapai,” tambah laporan berkenaan lagi.

Secara umumnya menurut laporan itu, pencapaian penyertaan Program MM2H bagi tempoh 2015 hingga bulan September 2019 adalah baik iaitu seramai 21,292 peserta telah menyertai program ini berbanding sasaran ditetapkan seramai 17,500, namun secara keseluruhannya, pengurusan MM2H adalah kurang cekap dan kurang berkesan.

“Ketiadaan pangkalan data secara bersepadu, kelemahan kawalan dalaman sistem MyIMMs serta peraturan yang tidak jelas menyukarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Imigresen membuat pemantauan secara berkesan dan menilai pencapaian program. 

“Kelemahan ini juga boleh membuka ruang kepada peserta atau tanggungan melanggar peraturan yang ditetapkan serta mendedahkan risiko kesihatan dan keselamatan kepada negara. Ketiadaan punca kuasa pula menyebabkan tindakan perundangan terhadap kes salah laku syarikat atau ejen tidak dapat dilaksanakan,” katanya.

Dalam pada itu, laporan audit berkenaan mengesyorkan agar Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Jabatan Imigresen mengambil tindakan penambahbaikan bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan memastikan pelaksanaan program MM2H.

Antaranya adalah koordinasi antara Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan kementerian atau agensi berkaitan perlu dipertingkatkan dengan mewujudkan sistem bersepadu bagi menambah baik keberkesanan pelaksanaan, pemantauan dan penilaian.

“Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu melaksanakan penambahbaikan terhadap isu audit yang dibangkitkan serta mengambil kira dapatan Kajian Impak dan Keberkesanan MM2H sebelum program ini diaktifkan semula untuk kekal relevan atau realistik dengan perkembangan semasa serta memberi penekanan kepada keselamatan negara

“Kementerian itu dan Jabatan Imigresen serta Jawatankuasa Pemandu MM2H perlu mengkaji dan menyemak semula pekeliling atau garis panduan Program MM2H supaya lebih seragam, jelas dan menyeluruh. 

“Kajian juga perlu dijalankan terhadap prosedur saringan kesihatan agar selaras dengan standard ditetapkan Jabatan Imigresen dan Kementerian Kesihatan dan menguatkuasakan penggunaan kad pintar digital kepada peserta dan mengintegrasikan fungsinya seperti merekodkan maklumat mengenai pembelian hartanah oleh peserta, maklumat kediaman dan pekerjaan peserta bagi tujuan pemantauan lebih berkesan,” jelas kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya