Pembangkang boleh 'tibai' kerajaan macam biasa  - Utusan Malaysia

Pembangkang boleh ‘tibai’ kerajaan macam biasa 

MAHDZIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persetujuan parti-parti pembangkang untuk menandatangani memorandum persefahaman (MOU) Transformasi dan Kestabilan Politik tidak bermakna mereka tidak lagi boleh menjalankan tugas-tugas berkaitan semak dan imbang terhadap pentadbiran negara ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, langkah itu sebaliknya hanyalah sebagai satu persetujuan terhadap beberapa perkara ke arah menumpukan perhatian terhadap kesusahan rakyat, terutama dalam berdepan cabaran ekonomi akibat Covid-19.

Justeru katanya, mana-mana parti pembangkang yang belum berbuat demikian, diminta mencari jalan supaya bersetuju dengan kerajaan agar mereka dapat bersama dalam urusan berkaitan pengurusan Covid-19 dan pembangunan semula ekonomi.

“Pembangkang  tetap membangkang dan apabila mereka tandatangani MOU itu, bukan bermakna mereka menjadi sebahagian daripada kerajaan kerana ini bukan kerajaan perpaduan.

“Mereka tetap jadi pembangkang dan ‘tibai’ kerajaan macam sebelum ini juga di Parlimen menyebabkan peranan semak serta imbang berjalan seperti biasa. Tetapi maknanya, ada persefahaman berkaitan perkara dipersetujui dalam MOU itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas diberikan taklimat mengenai program tanam semula di Dewan Mesyuarat Pusat Pentadbiran Komuniti Felda Lubuk Merbau, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Risda Kedah, M. Azmi Mohd., Pengarah Wilayah Felda Lubuk Merbau, Wan Zamri Wan Yusuf dan Pengurus Felda Lubuk Merbau, Mohd. Nordin Abd. Rahman.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan semalam turut mengajak tiga parti pembangkang lain iaitu Parti Warisan Sabah (Warisan), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik (Muda) untuk menyokong dan menandatangani MoU tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.