Pelantikan Sri Ram melalui peruntukan undang-undang yang salah - Peguam - Utusan Malaysia

Pelantikan Sri Ram melalui peruntukan undang-undang yang salah – Peguam

GOPAL SRI RAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini diberitahu, pelantikan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan bagi mengendalikan kes jenayah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah, tidak dibuat mengikut peruntukan undang-undang yang betul.

Ini kerana Seksyen 376(3) Kanun Tatacara Jenayah yang disandarkan oleh Peguam Negara untuk melantik Sri Ram sebagai TPR Kanan, tidak boleh digunapakai kepada peguam sebaliknya seksyen itu dikhususkan untuk pegawai perundangan dan kehakiman.

Muhammad Shafee yang mewakili Najib berhujah, berdasarkan seksyen itu Sri Ram yang merupakan seorang peguam, terlebih dahulu perlu dilantik sebagai TPR sebelum dilantik sebagai TPR Kanan.

Hujah beliau, Tan Sri Tommy Thomas iaitu Peguam Negara ketika itu sepatutnya melantik Sri Ram mengikut Seksyen 376(3) dibaca bersama Seksyen 379 seperti yang dilakukan bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail ketika melantiknya (Muhammad Shafee) mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Muhammad Shafee, ketika itu beliau dibayar oleh kerajaan sebanyak RM1,000 selepas menandatangani kontrak sebagai timbalan pendakwa raya, meskipun pada asalnya beliau hanya mencadangkan bayaran RM1.

Namun hujah beliau, Sri Ram tidak sesuai dilantik mengikut Seksyen 376(3) dibaca bersama Seksyen 379 kerana pelantikan bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu bukan melalui kontrak.

Sebaliknya, peruntukan undang-undang yang sesuai bagi melantiknya adalah berdasarkan Seksyen 377 yang mana Tommy selaku Peguam Negara telah tersalah tafsir undang-undang berhubung pelantikan itu.

Hujah Muhammad Shafee, Tommy tidak begitu mahir dengan pengendalian kes jenayah dan beliau sepatutnya mendapatkan nasihat daripada pihak yang lebih berpengalaman.

Sementara itu, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Muhammad Shafee berhujah pelantikan oleh Tommy adalah berniat jahat kerana Sri Ram ketika itu turut bertindak sebagai peguam bela dalam kes saman terhadap kerajaan.

Beliau mempertikaikan bagaimana seorang TPR Kanan bagi pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) juga boleh bertindak selaku peguam dalam kes saman yang menentang kerajaan.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah, tafsiran Seksyen 376(3) membawa maksud bahawa Sri Ram telah dianggap sebagai TPR selepas pelantikannya sebagai TPR Kanan.

Hujah beliau, Sri Ram boleh terus dilantik sebagai TPR Kanan kerana kemahiran dan pengetahuannya yang luas dalam perundangan walaupun beliau seorang peguam dan bukan pegawai perundangan dan kehakiman.

NAJIB TUN RAZAK

Mahkamah sedang mendengar rayuan Najib dan Muhammad Shafee bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak semakan kehakiman mereka untuk menggugurkan Sri Ram sebagai TPR Kanan dalam kes masing-masing.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Yaacob Md. Sam yang bersidang bersama Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali menetapkan keputusan pada 8 November ini.

Pada 28 Ogos tahun lalu, Hakim Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan ketika menolak semakan kehakiman itu berpuashati, Tommy membuat pertimbangan yang teliti sebelum melantik Sri Ram sebagai TPR Kanan mengetuai pendakwaan berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Disember 2018, Najib memfailkan semakan kehakiman bagi mengetepikan Sri Ram sebagai TPR Kanan dalam kes berkaitan 1MDB manakala Muhammad Shafee pula memfailkan permohonan serupa bagi menggugurkan Sri Ram daripada kes pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya.

Mereka memohon perintah mahkamah bagi membatalkan pelantikan Sri Ram atau menggugurkan beliau atas alasan surat lantikan itu tidak sah.

Mereka juga mahu pengisytiharan bahawa wujud konflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram dan memohon satu perintah untuk melarang beliau daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam semua kes mereka termasuk mengenai rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya