Pelajar dikesan isi masa lapang seludup daun ketum, upah RM100 seguni - Utusan Malaysia

Pelajar dikesan isi masa lapang seludup daun ketum, upah RM100 seguni

MD. Dali Jamil (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada daun ketum yang dirampas di Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu. - UTUSAN/ZAID MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pasukan Gerakan Am (PGA) bimbang dengan penglibatan pelajar dalam kegiatan penyeludupan daun ketum di sempadan Thailand bagi mengisi masa lapang selepas mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang diperkenalkan berikutan pandemik Covid-19.

Pegawai Pemerintah Batalion 2 PGA, Superintenden Md. Dali Jamil berkata, penglibatan golongan itu dalam kegiatan tersebut dikesan selepas seorang pelajar berusia 16 tahun ditahan kerana menyeludup daun ketum di sebuah ladang getah di Padang Besar, Perlis pada Ogos lalu.

Menurutnya, pelajar terbabit dipercayai terjebak dengan sindiket tersebut selepas mengikut rakan-rakannya bagi mencari pendapatan sampingan.

Ini kerana katanya, bayaran upah menyeludup daun ketum didapati lumayan sehingga mencecah RM100 seguni yang seberat 30 kilogram (kg).

“Kegiatan pelajar itu bukan sahaja menyalahi undang-undang malah boleh mengancam nyawa kerana terlibat dalam jenayah tersebut.

“Kita bimbang sekiranya masih terdapat pelajar-pelajar lain yang tinggal di kawasan sempadan Perlis dan Kedah terjebak dengan kegiatan penyeludupan daun ketum,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar tangkapan dan rampasan Ops Benteng Covid-19 Batalion 2 PGA di Markas Taktikal (Martak) Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Md. Dali memberitahu, penglibatan penduduk di sempadan di Perlis dan Kedah dalam kegiatan penyeludupan ketum didapati semakin meningkat selepas kerajaan Thailand mengeluarkan ketum dari senarai dadah yang berbahaya digunakan di negara jiran itu.

Tambahnya, pihaknya merampas sebanyak 7.9 tan daun ketum di kawasan sempadan tersebut bermula 1 Ogos hingga 31 Ogos lalu.

“Jumlah rampasan daun ketum semakin meningkat berbanding sebelum ini sekitar dua tan sebulan sahaja,” jelasnya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan kegiatan penyeludupan daun ketum dijangka terus meningkat selepas ini berikutan permintaannya yang semakin tinggi di pasaran negara tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya