IPOH: Pekerja yang menolak pengambilan suntikan vaksin Covid-19 boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (AKKP).
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, meskipun tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin, majikan masih boleh menggunakan undang-undang lain dari segi kesihatan dan keselamatan di tempat kerja.
Katanya, apabila seseorang pekerja itu enggan divaksinasi, persekitaran tempat kerja boleh dianggap tidak selamat dan mengancam keselamatan pekerja lain.
“Memang belum ada peruntukan atau apa-apa akta tetapi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan masih boleh dikuatkuasakan.
“Saya rasa tidak perlu pertikai vaksin ini sebab semua rakyat perlu sedar yang kita mahu bebas daripada penularan wabak ini dan sama-sama berganding bahu (untuk capai imuniti kelompok),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan cek faedah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada balu pengawal keselamatan yang meninggal dunia selepas terlantar lapan bulan akibat diserang lelaki di rumahnya di Taman Buntong Ria, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, semua rakyat termasuk pekerja warga asing perlu menyokong pengambilan vaksin Covid-19 dalam membantu kerajaan mengekang penularan pandemik berbahaya itu.
Katanya, keperluan untuk mengambil vaksin juga sepatutnya tidak memerlukan sebarang akta baharu kerana setiap individu perlu divaksin bagi mengawal jangkitan.
“Apabila ada pekerja yang tidak divaksin, kita akan rasa tidak selamat. Memang kita tidak boleh ambil tindakan tetapi ada undang-undang dan kuasa lain dari segi kesihatan dan keselamatan,” katanya.
Menerusi laporan akhbar kelmarin, Presiden Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MSOSH), Dr Shawaludin Husin berkata, majikan tidak mempunyai punca kuasa untuk memaksa kakitangan mengambil vaksin Covid-19.
Menurut beliau, paksaan ialah langkah tidak wajar pada waktu ini kerana tiada peruntukan undang-undang yang mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 terhadap mana-mana individu. – UTUSAN ONLINE