Peja yakin skuad bola sepak wanita mampu pamer aksi cemerlang - Utusan Malaysia

Peja yakin skuad bola sepak wanita mampu pamer aksi cemerlang

AHMAD Faizal Azumu (kanan) meninjau proses suntikan vaksin Covid-19 secara pandu lalu ketika perjumpaan dengan sukarelawan MyVac dan petugas PPV Stadium Indera Mulia di Ipoh hari ini.- UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin skuad bola sepak wanita negara mampu mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang Thailand dan Palestin bagi perlawanan Kumpulan H, Kelayakan Piala Asia Wanita 2022.

Beliau berkata, semangat tinggi yang ditunjukkan pasukan itu dengan dibarisi pemain senior dan pelapis berkaliber diyakini boleh mencipta keputusan yang baik.

“Saya tidak tahu mengenai kebolehan pasukan Palestin dan Thailand tetapi berlandaskan pemerhatian kepada semangat mereka (skuad negara), saya yakin mereka boleh memberikan persembahan yang baik.

“Saya nampak semangat hebat yang ditunjukkan selain memiliki pemain senior dan pelapis yang amat berkaliber dalam pasukan, saya doakan mereka berjaya,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi perjumpaan bersama sukarelawan Malaysia Vaccine Support Volunteers (MyVac) dan petugas-petugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Menurut Ahmad Faizal atau Peja, pasukan berkenaan kini berada di dalam gelembung di Wisma Majlis Sukan Negara (MSN) sebelum berlepas ke Palestin untuk perlawanan itu, Selasa ini.

“Pesanan saya, supaya mereka menonjolkan semangat kesukanan yang baik dan bermain bersungguh-sungguh sekali gus mengharumkan nama negara.

“Walaupun bukan melalui kemenangan, tetapi melalui semangat dan disiplin sama ada di dalam mahupun di luar padang. Itu yang penting bagi kita untuk mengharumkan nama negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN