KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pematuhan terhadap pengasingan pekerja-pekerja yang bergejala dan tidak bergejala di tempat kerja masih kurang jelas.
Beliau berkata, secara polisinya, kerajaan telah meminta majikan supaya mengasingkan pekerja mereka terutama yang tidak bergejala.
“Mereka tak perlu bawa ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) tapi dari segi pematuhan sangat-sangat tidak jelas, sama ada pematuhan itu dilaksanakan atau tidak.
“Saya akan lihat ini dengan serius dan ini satu perkara yang saya anggap isu blind spot. Apakah mungkin kita terus benarkan penularan ini? Mungkin kita laporkan kluster tempat kerja, tetapi sepatutnya tidak ada lagi kluster tempat kerja tetapi masih lagi wujud kluster terutama di tempat kediaman,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Charles Anthony Santiago (PH-Klang) berhubung kluster tempat kerja yang masih dilaporkan sehingga hari ini. – UTUSAN ONLINE










