KUALA LUMPUR: Jumlah penggunaan katil dan keperluan unit rawatan rapi (ICU) di hospital menunjukkan penurunan dalam tempoh sebulan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mendedahkan, berbanding dengan sebulan lalu iaitu 23 Ogos, jumlah penggunaan katil adalah 14,942 kes berbanding hari ini iaitu 10,321 kes.
Katanya, bagi jumlah keperluan ICU pada 23 Ogos adalah sebanyak 1,542 unit namun hari ini menurun kepada 1,114 unit.
“Walaupun ketika ini penularan kes Covid-19 masih tinggi dan kita masih menguruskan dengan sebaik mungkin, namun berdasarkan indikator penting, ia telah mula menunjukkan trend penurunan dan memberi sinar ke arah proses pemulihan negara yang lebih baik,” katanya ketika sesi penggulungan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Tambahnya, bagi purata kes kematian dalam tempoh tujuh hari pada bulan Ogos adalah 251 kes berbanding September iaitu 106 kes manakala berdasarkan kes aktif semasa yang dicatatkan, sebanyak 83 peratus daripada keseluruhan kes adalah dari kategori 1 dan 2 dan hanya perlu kuarantin di rumah.
“Sebanyak 10.7 peratus dibawa ke pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC) dan yang masuk hospital adalah 5.1 peratus manakala kes yang memerlukan bantuan alat pernafasan dan rawatan rapi adalah 0.5 peratus.
“Ini bukan tujuan memberi gambaran yang baik sahaja tetapi lebih bertujuan memberi perincian yang lebih teliti berkenaan kes dihadapi hari ini supaya pengurusan pandemik dapat dibuat dengan teratur dan bersasar,” katanya. – UTUSAN ONLINE










